PPBM Sabah Guna Taktik Kotor Curi Ahli UMNO – Abdul Rahman

KOTA KINABALU, 16 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan terdapat kepimpinan UMNO Bahagian yang melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggunakan taktik yang tidak jujur bagi mendapatkan ahli.

Ujarnya, mereka yang terbabit membawa bersama fail-fail pentadbiran UMNO Bahagian dan tidak menyerahkan kepada pentadbiran baharu Bahagian walaupun fail-fail tersebut adalah hak UMNO Sabah.

“Rupa-rupanya mereka mempunyai agenda tertentu bila mereka enggan menyerahkan fail tersebut kepada pentadbiran Bahagian UMNO Sabah yang baru.

“Dengan adanya fail-fail pentadbiran UMNO dalam tangan mereka, ramai ketua-ketua Cawangan dan ahli biasa UMNO secara tiba-tiba didaftar sebagai ahli PPBM dengan menggunakan data peribadi yang ada dalam fail-fail pentadbiran UMNO Sabah tersebut.

“Ramai ahli UMNO yang terkejut dan marah kerana nama mereka didaftar sebagai ahli PPBM tanpa pengetahuan mereka,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu lagi, pada awalnya terdapat 21 Ketua UMNO Bahagian Sabah, lima ahli Parlimen UMNO, sembilan ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dan dua senator UMNO melompat parti.

“Ini termasuk ramai ketua-ketua Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Mereka membuat perhitungan salah kononnya UMNO Sabah akan mati dan bakal terkubur selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” tambahnya.

Namun begitu katanya, Allah SWT itu Maha Besar dan Maha Adil kerana lebih ramai pemimpin meninggalkan UMNO Sabah, lebih ramai pula orang yang baharu memohon menjadi ahli.

“Mereka amat kecewa dengan dasar-dasar kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang bercelaru dan tidak berhala tuju.

“Alhamdullilah, setiap bulan ribuan permohonan ahli baru diterima oleh Bahagian-bahagian UMNO Sabah. Mesyuarat tahunan UMNO Sabah yang sedang berlangsung sekarang ini di peringkat Cawangan, Sayap dan Bahagian, tanpa diduga begitu meriah dan bersemangat apabila dibanjiri oleh ahli-ahli UMNO yang setia.

“Hakikatnya UMNO Sabah tidak mati dan terkubur. UMNO Sabah terus hidup dengan iltizam dan semangat baru,” katanya yang bersyukur melihat UMNO tetap mendapat tempat di hati rakyat.

Mengulas mengenai berita kepulangan bekas Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail ke pangkuan parti, Abdul Rahman berkata ianya amat dialu-alukan.

“Tahniah kepada Datuk Abdul Rahim kerana membuat keputusan nekad dan tepat untuk bersama kembali dengan UMNO Sabah dalam perjuangannya.

“Tahniah juga kepada UMNO Sabah Bahagian Papar yang berlapang dada dan berjiwa besar menerima kembali Datuk Abdul Rahim Ismail dalam satu perjuangan demi rakyat Sabah dan negeri Sabah yang kita cintai,” ujarnya.

Abdul Rahman juga berkata rakyat Sabah semakin menyedari perjuangan PPBM tidak akan ke mana-mana dalam politik negeri tersebut.

Bahkan ujarnya, kewujudan PPBM di Sabah bukan kerana satu perjuangan tetapi lebih kepada kepentingan masing-masing.

Abdul Rahman turut berkeyakinan akan ramai lagi yang akan kembali kepada UMNO.

“Saya jangkakan lebih ramai lagi mereka yang telah keluar dari UMNO akan kembali berjuang dengan UMNO Sabah memandangkan UMNO Sabah telah terbukti banyak jasa membangunkan negeri Sabah dan menjaga kebajikan rakyat sejak 25 tahun ini.

“Di samping itu, mereka berminat kembali kepada perjuangan UMNO Sabah kerana UMNO Sabah bakal mendapat kelulusan autonomi politik dari UMNO Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini.

“Dengan adanya autonomi politik ini, UMNO Sabah akan dibenarkan mengurus dan membuat keputusan pentadbiran dan politiknya tanpa campur tangan UMNO Malaysia di Kuala Lumpur. Inilah yang mereka nanti-nantikan selama ini,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.