PAS Tolak Kerjasama PH, Terus Ta’awun Dengan UMNO

KUALA LUMPUR 16 Julai – PAS menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya terus kekal bersama Gagasan Sejahtera di samping berta’awun dengan UMNO serta Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan agenda Perpaduan Ummah dengan UMNO.

Katanya, PAS juga tidak akan meninggalkan parti BN dan komponennya yang mewakili pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“PAS yakin muafakat nasional yang diterajui oleh UMNO dan disokong oleh parti-parti lain kini merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.

“Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti blok pembangkang di masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.