Lim Guan Eng ‘Penipu Bersiri’?

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Patutlah kerajaan tidak berani menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Tabung Haji dan FELDA kerana takut terdedah lebih banyak watak ‘penipu bersiri’ dalam Pakatan Harapan (PH), bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyatakan wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) RM19.4 bilion tidak dirompak oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) jelas membuktikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah ‘penipu bersiri’.

“Laporan PAC itu juga membuktikan Lim Guan Eng jahil selok-belok kewangan walaupun dia akauntan ‘bertauliah’. Sebab itu jumlah hutang negara pun dia keliru.

“Penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir mengesahkan kejahilan Lim Guan Eng. Menurut beliau, mungkin kefahaman Lim Guan Eng apabila jumlah ‘refund’ GST ialah RM19.4 bilion, maka ia perlu dipulangkan semua sekaligus.

“Sedangkan ia perlu diproses, disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Sebab itu menurut beliau wang itu tidak hilang atau disalah guna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Dr Puad lagi, berdasarkan laporan PAC, setakat 31 Mei 2018 bayaran balik GST yang diluluskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia ialah RM1.5 bilion.

“Menurut KSP lagi tidak salah wang ‘refund’ GST disimpan dalam Akaun Disatukan. Setelah disahkan untuk bayaran barulah wang itu dipindahkan ke Akaun Amanah sebelum dipulangkan kepada perniaga.

“Setakat 10 April 2019 hanya RM6.93 bilion daripada RM19.4 bilion yang disahkan oleh Jabatan Kastam untuk dibayar balik kepada peniaga. Itu pun kerajaan PH cuma bayar RM3 bilion sahaja,” tegasnya lagi.

Justeru ujarnya, adalah wajar Setiausaha Agung Dap itu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana laporan PAC membuktikan Guan Eng telah mengelirukan Parlimen serta diucapkan tahniah kepada BN dan blok pembangkang yang membawa usul tersebut. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.