Laporan PAC Bukti Guan Eng Menipu Tuduh Merompak – Najib

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berpuas hati tentang laporan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC).

Katanya, laporan ini menunjukkan bukti yang jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu telah melaksanakan tanggungjawab dengan laporan yang benar dan jelas maka sewajarnya Menteri Kewangan harus didakwa kerana telah menipu terhadap laporan tersebut.

“Apa yang dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat adalah tuduhan yang sangat serius. Sebab itulah sebagai parti, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat laporan untuk Guan Eng disabitkan kesalahan di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Duit itu masuk dalam akaun yang disatukan dulu, sepenuhnya dari situ barulah kita agih untuk bayaran balik GST, sebab bayaran balik GST ini jumlahnya tidak diketahui dan ia bergantung kepada kesahihan tuntutan dan sebagainya,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menjelaskan, wang bayaran balik GST itu telah digunakan untuk urusan pentadbiran kerajaan seperti kos, pentadbiran, perkhidmatan rakyat dan juga pembangunan.

Justeru katanya, PAC dalam rumusan yang dikeluarkan semalam memutuskan kutipan wang cukai GST berjumlah RM19.4 bilion disahkan tidak dirompak oleh kerajaan terdahulu sebaliknya digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus negara.

“Mustahil… mustahil ada penyelewengan, mustahil ada perompakan… sama sekali,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.