Kerjasama UMNO-PAS Makin Kukuh, Piagam Akan Jadi Garis Panduan – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama UMNO dengan PAS berjalan dengan lancar dan akar umbi menyokong kerjasama tersebut.
Katanya melalui piagam kerjasama UMNO dan PAS yang bakal dilaksanakan, segala program-program boleh dijalankan lebih terperinci sama ada diperingkat nasional, negeri mahupun parlimen-parlimen iaitu dengan garis panduan yang dilaksanakan secara detail agar akar umbi memahami formuliti yang dibawa oleh UMNO dan PAS.
“Diperingkat akar umbi kerjasama ini telah pun dilaksanakan cuma piagam sebagai formuliti dan garis panduan yang lebih jelas dari peringkat nasional, negeri, bahagian agar ianya lebih detail dan jelas.
“Saya percaya menjelang Aidiladha ini banyak program korban akan dilakukan bersama. Dari segi kerjasama program sudah lama dijalankan seperti kerjasama dengan ummah, ceramah-ceramah sudah dilaksanakan bersama-sama,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bera, program UMNO dan PAS akan terus dilaksankan walaupun musim perayaan Aidiladha yang bakal menjelma, kerana program kerjasama sangat penting agar rakyat memahami mesej yang disampaikan oleh UMNO dan PAS.
“Walaupun piagam belum dapat tapi program-program kami sudah laksanakan,” ujarnya lagi.
Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, piagam kerjasama UMNO dan PAS akan ditandatangani oleh kedua-kedua presidennya dalam masa terdekat.
Kata Ahmad Zahid, pemeteraian itu bertujuan merapatkan semula hubungan kedua-dua parti yang telah terpisah pada 1978 seterusnya merealisasikan kolaborasi politik UMNO-PAS.- MediaUMNO