Gugur Kuasa Yang Di-Pertuan Agong? Pindaan RUU Profesion Guaman Syarie Dipertikai

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah membidas kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang enggan memberi penjelasan sebenar berkaitan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (WP) 2019.

Kata beliau, penggulungan yang dibuat oleh menteri dalam Dewan Rakyat berkaitan perkara ini menimbulkan persoalan besar apabila ia seakan menghilangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan dan adakah perkara ini mendapat perkenan Majlis Raja-Raja?

“Menjadi tanda tanya bila menteri dalam sesi pergulungan semalam menggulung RUU akta peguam syarie menyatakan pindaan yang dicadangkan oleh pihak kementerian telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Saya telah bertanya adakah Agong tahu dengan jelas berkaitan menidakkan kuasa Yang di-Pertuan Agung dalam undang-undang baru ini namun ia tidak dijawab.

“Bagi saya ini adalah satu ultra virus kepada Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan. Manakan tidak, kuasa Agong diganti kepada menteri.

“Sepatutnya, sebarang pindaan yang menyentuh kemuliaan, kedudukan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong mesti merujuk kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu… Tapi apa yang menteri bentang adalah seperti mengikut kehendak sendiri dan seakan lupa kedudukan Raja-raja adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak boleh buat sebarang tafsiran mengikut kehendak sendiri,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Shahar, tindakan kerajaan PH ini seakan mahu menghilangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

“Pindaan seksyen 59 ini akan mengakibatkan terhapusnya peranan Yang di-Pertuan Agong dan kerana itulah ia harus mendapat perkenan Majlis Raja-raja dan inilah yang saya persoalkan sebenarnya.

“Sebagai contoh, pada cadangan seksyen 65 RUU profesion guaman syarie 2019 dinyatakan, ‘majlis peguam syarie boleh, dengan kelulusan Menteri membuat kaedah-kaedah…’ dengan kata lain ‘kelulusan Yang di-Pertuan Agong’ sebagaimana ada dalam seksyen 59 (2) Akta Pentadbiran undang-undang Islam 1993 dicadangkan untuk digantikan dengna ‘kelulusan menteri’, tiada lagi kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, saya memohon agar pihak kerajaan menjelaskan secara terperinci berkaitan perkara ini kerana saya bertanya bagi pihak rakyat,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.