Bayaran Balik GST Tidak Hilang, Laporan PAC Bukti Menteri PH Tersasar… Calar Imej Kerajaan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba menyifatkan imej kerajaan hari ini tercalar setelah laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) berhubung bayaran balik wang GST yang sebelum ini didakwa telah dirompak oleh kerajaan lalu sebenarnya tidak hilang.

Sambil menunjukkan laporan berkenaan, beliau turut membacakan beberapa perenggan yang antara lain secara kesimpulannya menyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan sebelum ini jauh tersasar.

“Laporan PAC ini betul-betul menyebabkan kedudukan kerajaan hari ini di dalam Parlimen tergugat kerana laporan berkenaan bukan sahaja boleh dilihat oleh rakyat Malaysia malah dari serata dunia. Kalau laporan ini mendapati apa yang diucapkan itu tidak betul ianya adalah memalukan.

“Saya ada dalam dewan ketika itu dan saya tengok muka Menteri Kewangan… betulkah beliau tuduh kita ‘rompak’ ini. Satu pernyataan yang sangat ‘unparliamentarian’. Agak-agak sikit la nak tuduh orang nak ‘merompak’,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Diskusi Dari Parlimen yang disiarkan secara live menerusi facebook umno-online, malam tadi.

Tambah Adham lagi PAC yang bermesyuarat bukan sahaja terdairi daripada kalangan wakil pembangkang malah turut diserta oleh wakil daripada kerajaan.

“Akhirnya PAC buat mesyuarat… bukan wakil pembangkang sahaja tetapi terdapat juga wakil kerajaan di dalam PAC itu. Mereka merumuskan tidak ada duit yang kerajaan dahulu seleweng. Orang ramai boleh lihat laporan berkenaan.

“Jangan tuduh kita ‘rompak’ dan itu adalah satu pembuktian, malah seingat saya selepas sahaja menteri kewangan dalam parlimen menyatakan ada rompakan… seolah-olah kita rompak… YB Rembau, Khairy Jamaluddin buat laporan polis… walaupun dalam parlimen kita tidak boleh lagi sentuh tetapi kerana ianya menyalahkan satu pihak yang lain, namun sehingga ke hari ini tidak dapat apa-apa penjelasan mengenai laporan polis terbabit,” tambahnya.

Tambahnya lagi blok pembangkang sepertimana pada sidang media oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri telah menyatakan akan membawa perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan laporan PAC itu boleh menyebabkan menteri kewangan boleh dihadapkan atau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Jadi kita dah merujuk mereka yang menuduh itu… Alhamdulillah dan kita tunggu keputusan Speaker untuk bawa perbahasan berkenaan,” ujarnya.

Ujar Adham lagi tindak-tanduk kerajaan hari ini menyebabkan kesan yang tidak baik kepada negara terutama dalam soal-soal melibatkan pelaburan yang mana ketidakyakinan pelabur itu sendiri.

“Jadi orang tidak akan melabur dengan kita. Sebelum ini mereka mengatakan jumlah pelaburan FDI meningkat… eh rupanya tipu juga. Mereka jual aset apabila orang luar beli dan setelah dibayar pembelian berkenaan dianggap FDI.

“Di sini saya ada senarai 365 isu… setiap hari PH memerintah ada sahaja dan isu itu belum lagi isu-isu yang terkini dan ini ada faktanya. Contoh eksport negara merosot 0.5 peratus pada Mac 2019. Itu Mac… penoreh getah belum dibantu dengan agresif dan kompetitif, jadi kalau saya baca 365 benda ini tidak cukup satu jam,” katanya sambil menunjukkan salinan senarai isu berkenaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.