Kutipan GST RM19.4 Bilion Tidak Hilang – Noraini


KUALA LUMPUR 15 Julai – Tiada kehilangan wang RM19.4 bilion dalam kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Begitulah rumusan yang dibuat dan disahkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas memulakan prosiding mengenai perkara itu pada 12 September tahun lalu dengan memanggil 10 orang saksi.

Pengerusinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil cukai itu.

“Penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada di dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.

“Kerajaan telah mengumumkan akan membuat pembayaran balik cukai GST dalam tahun ini dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan ini berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah Kementerian Kewangan.

Isu ini adalah lanjutan daripada kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu yang menyatakan bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Jawatankuasa ini juga mendapat taklimat daripada Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST berkenaan selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.

Rumusan lain yang diperoleh PAC, kerajaan telah mengumumkan akan membuat bayaran balik cukai GST dalam tahun ini dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti laporan PAC berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion boleh memuat turun laporan berkenaan dari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.