Laporan Tunggakan Bayaran Balik GST, Isnin

KUALA LUMPUR 14 Julai – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen sebulat suara untuk membentangkan laporan berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion di Dewan Rakyat, esok.

Pengerusinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan untuk mempercepatkan pembentangan laporan ini yang pada mulanya dijadualkan pada hari Selasa, 16 Julai adalah bagi mengelakkan lebih banyak andaian berhubung laporan berkenaan.

“Selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, orang ramai boleh mendapatkan laporan ini dengan memuat turunnya daripada laman web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac pada hari yang sama ia dibentangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua ahli PAC berjaya mencapai keputusan sebulat suara untuk menyiapkan laporan tersebut khususnya rumusan dan syor berhubung tuntutan itu.

Laporan itu adalah satu prosiding yang lama apabila PAC mengambil masa selama 11 bulan untuk menyiapkan laporan berkenaan dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi.

PAC juga mendapat taklimat daripada Jabatan Audit Negara sebanyak tiga kali serta mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara selain mengadakan mesyuarat penyediaan laporan ini sebanyak empat kali. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.