Terangkan Konsep Penyatuan UMNO-PAS, Jangan Biar Pihak Lain Dahului


REMBAU, 13 Jul – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli-ahli UMNO perlu memperkukuh penyatuan ummah di samping bersama-sama memberi penerangan kepada orang ramai agar tidak disalahertikan sebagaimana sebelum ini.

Katanya, hasil penerangan yang dibuat maka hari ini penerimaan parti komponen Barisan Nasional (BN) jelas dapat dilihat iaitu MIC sudah menyatakan sokongan malah telah pun menjalinkan kerjasama bersama PAS manakala MCA pula memahami berkaitan penyatuan ini.

“Sebab itu konsep penyatuan ummah ini mesti diterangkan. Pemimpin-pemimpin parti mesti terangkan kerana ini bukan penyatuan untuk memerangi sesiapa tetapi Dap telah mendahului buat psiko kepada orang Cina kononnya penyatuan ini deklarasi kepada orang bukan Melayu…. Kita tidak mahu perang dengan sesiapa, kita nak satukan ummah.

“Tapi kita juga jangan terlalu selesa sangat dengan penyatuan ummah. Dalam parti pun kita kena hilangkan karenah cah keting, dan bersengketa sesama sendiri.

“Dalam BN pula, kita kena bangun kerana semangat kita nak bersama-sama memperkasakan parti UMNO, BN dan parti bersekutu dalam BN. Semua kena muafakat untuk menang dalam pilihan raya,” ujar beliau kepada media selepas merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Rembau, di sini hari ini.

Jelas Mohamad, semua pihak harus ingat bahawa kemenangan dalam pilihan raya bukan hanya kerana ahli parti sahaja tetapi orang yang tak berparti iaitu atas agar juga merupakan satu suara besar untuk menentukan hala tuju dan keputusan pilihan raya.

“Jadi jangan kita syok sendiri. Kita mesti pastikan supaya agenda lain harus kita lakukan untuk gambarkan UMNO dan BN sudah berubah dan ambil iktibar atas kekalahan dalam PRU-14,” tegas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan BN akan menganjurkan konvensyen BN pada bulan September ini bagi membincangkan peranan setiap parti dalam menuju Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15).

Tambah beliau, antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan meminda piagam BN.

“Kita akan panggil semua ketua bahagian dan pemimpin parti untuk bahaskan apa yang tidak puas hati dan bagaimana peranan parti. Kita tidak mahu lagi UMNO dilihat sebagai sebuah parti dominan dalam BN dan ada yang katakan UMNO membuli MCA dan MIC… kita tidak mahu semua ini.

“Selain itu kita juga akan meminda piagam BN. Inilah antara keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN baru-baru ini,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.