Pemimpin Sebenar Adalah Akar Umbi, Terus Bersemangat Untuk Lonjakkan Parti


MARANG, 13 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa bangga dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli dan pimpinan pelbagai peringkat yang masih terus bersemangat di negeri berkenaan.

Menurut beliau sebagai pejuang, itulah semangat yang perlu ada dan tidak gusar dengan ujian yang datang kerana perjuangan parti perlu diteruskan untuk membela nasib dan kepentingan rakyat.

“Kita perkukuh dan perkemaskan cawangan-cawangan dan bahagian insya-Allah. Kedatangan para perwakilan pada mesyuarat UMNO Marang hari ini amat membanggakan dan ini menceritakan segala-galanya.

“100 lebih cawangan UMNO di dalam bahagian menunjukkan semangat yang cukup kuat… tetapi kita tengok kenapa boleh kalah pilihan raya… ’scoore goal’ sendiri dan macam-macam lagi. Tetapi kita perlu ke depan insya-Allah kita yakin parti mampu bangkit dan kuatkan perpaduan serta iltizam dalam perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Marang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau turut berkongsi pengalamannya yang saban kali disapa oleh orang ramai bilakah tarikh pilihan raya umum.

“Apakah maknanya itu… mereka terutama golongan muda dan rakyat kecewa dengan apa yang sedang berlaku hari ini. Mereka dijanjikan macam-macam. Minyak RM1.50 seliter… orang Felda dijanjikan… PTPTN dan sebagainya lagi. Inilah masalah yang berlaku dalam negara dan membebankan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku menyifatkan pemimpin sebenar adalah mereka yang menggerakkan parti di akar umbi.

Ini kerana katanya tanpa mereka di cawangan-cawangan yang bergerak penuh semangat dan tanpa penat serta lelah, tidak akan ada pemimpin di peringkat atas termasuklah dirinya sendiri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan di bawah sana bukan setakat setia, malah sokongan dan dokongan ahli parti empat peringkat kepada UMNO sampai ke hari ini nampaknya lebih baik momentumnya daripada perhimpunan yang pertama selepas kita kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kekuatan UMNO sebenarnya terletak di akar umbi… sebab itu pada saya pemimpin sebenarnya adalah tuan-tuan semua,” tambahnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.