Akar Umbi Perkukuh Perjuangan UMNO, Fokus Mantapkan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Fokus utama UMNO yang mahukan agenda pengukuhan melalui perpaduan ahli-ahli parti di akar umbi serta kerjasama penyatuan ummah bersama PAS mendapat respon yang sangat positif dari ahlinya.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Hashim Jahaya menjelaskan kesatuan ahli-ahli akar umbi untuk bangkit amat jelas apatah lagi setelah UMNO menjalinkan kerjasama melalui penyatuan antara UMNO dan PAS.

“Ahli-ahli di akar umbi menyambut baik apa yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan parti malahan telah menjadi agenda kepada kami di sini untuk memfokuskan perpaduan dalaman UMNO Kuala Kedah termasuk Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang mempunyai tanggungjawab menggerakkan usaha berterusan di sini,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau, rakyat tempatan rata-rata melahirkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang ada sekarang ini apatah lagi apabila agama dan bangsa tidak mendapat jaminan dan pembelaan.

“Kita sepakat bahawa UMNO adalah satu platform terbaik kepada bangsa sebagai landasan memperjuangkan agama dan bangsa apatah lagi sekarang ini kita menjalin kerjasama dengan PAS yang ternyata amat memudahkan kerja-kerja kita untuk memperkukuh perpaduan dan bangkit kembali.

“Perpaduan dan pengukuhan yang kita lakukan adalah sangat tinggi dengan hasrat utamanya adalah untuk menumbangkang kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

“Sambutan rakyat sangat baik dan diluar jangka. Setiap ceramah yang kita lakukan juga bukan setakat ratusan malahan ribuan kehadiran apatah lagi apabila melibatkan penyertaan UMNO-PAS bersama-sama.”

Bercakap berkaitan mesyuarat bahagian, katanya, persiapan untuk mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah sedang dilakukan dengan semangat yang sangat tinggi.

“Mesyuarat perwakilan yang akan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal diadakan pada 27 Julai depan. Kita menjemput semua ketua-ketua Bahagian di negeri ini termasuk juga kepimpinan PAS malah kita telah mendapat maklumbalas bahawa kesemua barisan kepimpinan PAS kawasan dan Negeri akan hadir seperti yang dipersetujui oleh mereka. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.