Najib Ada Karisma Untuk Kembali Martabatkan BN – Annuar

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempunyai karisma yang sangat tinggi dalam memartabatkan kegemilangan Barisan Nasional (BN) kembali.

Katanya lagi, pengalaman luas yang dimiliki oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan itu tidak perlu dipertikaikan dengan kewibawaan yang dimiliki oleh beliau.

“Bagi saya tiada isu. Kalau sekali kalah takkan terus hilang kelayakan jadi penasihat. Jangan dinafikan beliau punya pengalaman, punya kebolehan. Kalau tidak masakan rakyat sekarang ini memberikan sambutan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung terdapat perbezaan pendapat berkaitan pelantikan Najib.

“Apabila pemimpin Dap, Lim Kit Siang menjadi penasihat Dap, sepanjang beliau menjadi penasihat berapa kali Dap kalah?”

“Kita kena ingat, berapa kali Dap kalah dalam 13 kali pilihan raya, namun pada PRU ke-14 lalu, akhirnya berjaya walaupun menghalalkan berbagai cara termasuk hasutan dan fitnah,” katanya lagi.

Selasa lalu, Dewan Tertinggi BN telah memaklumkan pelantikan Najib dalam usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti berkenaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.