Lebih Setahun Berlalu Tapi Kerajaan PH Masih Berkelakuan Seperti Pembangkang

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata, walaupun sudah lebih kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara namun kelakuan dan sikap mereka masih seperti pembangkang.

Jelas beliau, ini adalah sesuatu yang tidak boleh lagi dikompromi kerana kehidupan rakyat semakin terhimpit.

“Tidak ada sesuatu pun yang baru… dulu saya pernah cakap kerajaan hari ini adalah kerajaan pembangkang dan hari ini situasinya masih sama. Suasana Dewan Rakyat juga tidak ada perbezaan sebab sidang pertama yang dilontarkan adalah lontaran yang sama sehingga hari ini di mana ‘key point’nya adalah ‘blame game’, salahkan kerajaan terdahulu.

“Kita pula di blok pembangkang tidak semua kita bangkang kerajaan, mana yang elok kita akan sokong cuma saya kecewa apa yang saya tunggu selama ini masih tidak dapat.

“Apa yang saya dan rakyat tunggu adalah kerajaan menampilkan pandangan dan idea untuk membela rakyat yang sehingga kini kehidupan mereka makin hari makin susah,” ujar beliau ketika menjadi panel Program Diskusi Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan menerusi facebook UMNO-Online di sini malam tadi.

Tambah Jalaluddin, rakyat menantikan sesuatu yang ‘wow’ daripada kerajaan baru ini namun sayangnya penantian itu masih tidak berpenghujung.

Mengulas berkaitan alasan yang sering diberikan bahawa mereka masih baru kini sudah tidak boleh lagi.

“Kita memang kena berlaku adil kerana mereka masih baru tetapi baru dalam erti yang bagaimana? Kalau tempoh tiga bulan itu kita boleh berkompromi kerana mereka masih cari arah tuju bagaimana nak kendalikan pentadbiran yang lebih terurus tapi sekarang sudah setahun dua bulan.

“Saya tidak fikir ini tempoh baru atau kita boleh kompromi lagi kerana kita nak bawa negara ini ke arah negara yang terkenal di peringkat antarabangsa, bukan terus mundur.

“Disebabkan permainan ‘blame game’ inilah yang menyebabkan kerajaan sehingga kini masih kelihatan gagal merangka hala tuju jangka panjang untuk negara dan rakyat,” tegas beliau.

Ketika ditanya berkaitan sikap peneroka yang seakan melepaskan perasaan marah kepada kerajaan semasa sambutan hari peneroka baru-baru ini ulas beliau, inilah yang terjadi apabila peneroka tidak mampu lagi mengawal rasa kecewa mereka.

“Saya pernah sebut dulu peneroka Felda ini jangan sampai perasaan mereka jadi seperti ‘time bom’. Sekarang sudah terbukti. Inilah sejarah hitam yang tercatat pada sambutan hari peneroka di mana peneroka telah berikan satu signal yang tidak sihat kepada pemimpin.

“Kita tidak boleh salahkan peneroka sebab mereka ada satu perasaan yang tidak boleh lagi di kawal. Mereka tuntut hak mereka agar kerajaan tunaikan janji apatah lagi sekarang ini hidup peneroka semakin susah.

“Harga komodoti semakin menurun. Bagaimana mereka nak tanggung keluarga? Saya nak sebut manusia ini tanpa kira kaum mereka adalah manusia biasa. Bila mereka akan bangkit memberontak menyuarakan isi hati mereka… ketika mereka laparlah. Kerajaan harus ingat bahawa Felda bergantung sepenuhnya kepada harga komoditi untuk menyara keluarga mereka,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.