Akar Umbi UMNO Terus Bersemangat Berkhidmat… Perjuangkan Agama, Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata UMNO Tampin akan tetap meneruskan perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air walau berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, jasa UMNO terlalu banyak bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada seluruh rakyat.

“UMNO sebelum ini banyak membantu rakyat termasuk memberi peluang dan ruang kepada orang-orang muda untuk menerajui UMNO sebagaimana di Bahagian Tampin ini… walaupun ada kekurangan tetapi ahli yang muda dan orang yang lama saling membantu dan melengkapi.

“Saya rasa tiada apa-apa masalah yang timbul walaupun terdapat muka-muka baru menerajui kepimpinan UMNO Tampin baik diperingkat cawangan mahupun bahagian. Mereka telah menjalankan tugas, tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi, malah usaha untuk memastikan UMNO kembali mendapat kuasa dengan memperkukuh akar umbi dibuat berterusan” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, walaupun kebanyakan kepimpinan UMNO Bahagian Tampin tampil dengan muka baru selepas pemilihan tahun lalu namun, kebersamaan dalam menguruskan parti khususnya untuk waktu-waktu sukar dilaksanakan dengan penuh amanah.

Tambahnya lagi, kepimpinan diperingkat akar umbi sentiasa menyemai semangat untuk memastikan UMNO akan terus relevan apatah lagi banyak perkara yang berlaku sekarang ini turut menjadi bukti bahawa parti ini banyak membantu bangsa dan masyarakat.

“UMNO menjaga orang Melayu dan Islam serta dapat menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi, banyak perkara dibincangkan di akar umbi dan ternyata semangat perjuangan terus membara,” katanya.

UMNO bahagian tersebut telah melaksanakan tanggunjawabnya mengadakan mesyuarat persidangan pada 7 Julai lalu yang dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Alhamdulillah… mesyuarat UMNO bahagian telah berlangsung dengan lancar dan mendapat sokongan dari semua para perwakilan.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.