Tanggungjawab Besar Memperkasa Semula BN – Najib


KUALA LUMPUR, 10 Julai – Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN merupakan satu amanah besar bagi dirinya untuk sama-sama memperkasakan parti.

Najib yang ditemui sebaik selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh parti kepadanya.

“Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Zahid (Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan juga kepada Presiden MCA dan MIC kerana mereka telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pengerusi kepada Lembaga Penasihat BN.

“Satu penghormatan saya anggap bukan pada diri saya tetapi satu tanggungjawab besar untuk memulih, memperkasa BN berdasarkan kepada piagam BN yang baru yang akan dilancar pada konvensyen BN pada bulan September akan datang, Insya-Allah,” katanya.

Sebelumnya, Dewan Tertinggi BN dalam satu kenyataan sebulat suara bersetuju melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Tambah Najib yang juga bekas Perdana Menteri, BN perlu melakukan beberapa perubahan dan strategi yang lebih segar.

“Juga beberapa keputusan strategik yang telah kita buat termasuklah bagaimana BN sebagai parti berimej pelbagai bangsa, budaya dan agama supaya semua akan lihat BN ini melambangkan cerminan masyarakat majmuk Malaysia tetapi tetap berpandu kepada perlembagaan negara kita.

“Dan juga bagaimana kita boleh memberi tumpuan kepada orang muda, bagaimana kita boleh menarik lebih ramai ahli kepada BN sebagai ahli secara langsung dan juga bagaimana BN di peringkat akar umbi memperhebatkan lagi program-program bersama, kebersamaan kita di kawasan-kawasan tertentu berdasarkan kepada platform BN.

“Inilah yang kita sedar berkurangan selama ini,” ujarnya lagi.

Manakala mengenai barisan ahli lembaga tersebut, Najib berkata ianya akan dibincang bersama-sama dengan pucuk pimpinan BN serta parti-parti komponen.

“Insya-Allah saya akan berkerja sedaya upaya. Akan berbincang dengan Pengerusi BN, Presiden MCA, MIC tentang pelantikan beberapa anggota lembaga bagi membantu saya menjalankan tugas sebagai penasihat,” jelasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.