Pindaan Had Umur Mengundi, Pembangkang Sambut Baik Kesediaan Kerajaan Terima Cadangan


KUALA LUMPUR, 10 Julai – Barisan pembangkang hari ini menyambut baik dan melihat kesediaan kerajaan yang menerima pandangan blok pembangkang mengenai pindaan Rang Undang-Undang had umur mengundi satu permulaan yang baik untuk negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata oleh kerana kerajaan telah pun setuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang, pihaknya akan menyokong usul yang akan dibentangkan nanti.

“Dan keseriusan itu dapat dilihat hari ini apabila pihak kerajaan menarik balik cadangan asal untuk umur 18 didaftar secara manual.

“Kita lihat pendekatan ini terbaik antara kerajaan dan pembangkang kerana apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada rakyat kita boleh bersetuju.

“Kita mungkin berbeza dari segi parti, berbeza dari segi pandangan tetapi apa sahaja yang melibatkan kepentingan rakyat kita bersedia dan ini adalah signal yang baik kepada kedua-dua parti,” katanya kepada media di lobi parlimen, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah pihaknya tidak akan membangkang secara melulu apatah lagi membangkang apa sahaja daripada kerajaan.

“Apa yang ditunjukkan hari ini adalah yang baik… kita boleh terima. Begitu juga apa cadangan yang baik walaupun daripada pembangkang kerajaan pun boleh terima dan kita merasakan ini akan membawa masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Dua syarat pembangkang adalah untuk turut menurunkan had umur menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun dan menjalankan pendaftaran undi automatik.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama barisan blok pembangkang yang lain menyertai sidang media bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai RUU had umur mengundi.

Kerajaan hari ini telah menarik balik Rang Undang-undang pindaan Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata RUU baru akan dibentangkan esok dengan tiga pindaan, termasuk cadangan pembangkang untuk pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

“Pembangkang telah memberikan komitmennya untuk menyokong pindaan Perlembagaan dengan kedua-dua cadangan tersebut.

“Saya yakin (boleh mendapat) majoriti 2/3. Rang undang-undang itu akan dibuka semula esok,” katanya di lobi Parlimen.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.