Pelantikan Najib Langkah Tepat – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) melantik Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN merupakan suatu langkah yang sangat tepat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, berdasarkan kepada pengaruh, dan pengalaman yang dimilikinya, kita percaya beliau akan dapat memainkan peranan bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN, dan Ahli Dewan Tertinggi BN lain dalam usaha memulih, memperkasa dan mengembalikan semula kekuatan BN.

“Kita percaya, diketika rakyat negara ini semakin tertekan akibat corak kepimpinan tidak konsisten dan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji-janjinya, BN mampu kembali menjadi pilihan rakyat di dalam negara ini, dan bersama PAS kita yakin akan kembali berkuasa di negara ini.

“Saya berharap semua pimpinan dan ahli parti disemua peringkat terus memperkukuhkan perpaduan sesama kita, ” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, kekuatan parti akan terserlah jika kita bersama melakukannya, tumpuan kita sekarang ialah berhadapan dengan Kerajaan PH.

“Kita mesti berusaha supaya rakyat menyokong perjuangan kita,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.