Demi Survival Orang Melayu, PPBM Yang Patutnya Dibubar… Kembali Kepada UMNO

NIBONG TEBAL, 10 Julai – Demi survival politik Melayu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang seharusnya dibubar dengan ahli-ahlinya kembali kepada UMNO dan bukannya ahli UMNO menyertai parti yang telah terbukti gagal memperjuangkan nasib orang Melayu selain hanya diperkudakan oleh Dap, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail.

Jelas beliau, mana mungkin sebuah parti besar seperti UMNO yang mempunyai lebih tiga juta ahli dibubarkan semata-mata untuk menyertai PPBM yang ahlinya hanya ratusan ribu.

“Pemuda Nibong Tebal berasa pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk ahli UMNO menyertai PPBM demi Melayu sebenarnya tidak boleh dipandang remeh namun rakyat negara ini khususnya ahli PPBM harus menerima hakikat bahawa sejarah politik Melayu ini teruk berpecah adalah hasil tangan Tun sendiri.

“Memang kita kena akui bahawa senario politik orang Melayu hari ini agak rencam dengan perpecahan ideologi politik dan begitu banyak parti politik berasaskan perjuangan orang Melayu diwujudkan dengan implikasinya, kuasa politik orang Melayu semakin mengecil berbanding bangsa lain dan menyukarkan untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini.”

Namun begitu, katanya, ini bukan bermakna UMNO harus menyertai PPBM.

“Sekiranya PPBM menyedari orang Melayu semakin berpecah maka merekalah yang seharusnya berkorban dan kembali ke pangkuan UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jelasnya, perpecahan orang Melayu dalam UMNO terjadi apabila berlakunya persengketaan Tun dengan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga tertubuhnya satu lagi parti iaitu Melayu Semangat 46.

“Pada tahun 1998, perselisihan faham Tun dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional yang sekarang ini dikenali dengan nama PKR.

“Dek kerana perpecahan ini, pilihan raya pada tahun 1999 menyaksikan sokongan orang Melayu kepada UMNO/BN merosot teruk. Selepas itu, sekali lagi Tun memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh ingin menghancurkan Datuk Seri Najib Razak dalam PRU-14. Tun menubuhkan PPBM yang berteraskan politik Melayu walaupun hakikatnya meniru UMNO dan sanggup bersekongkol dengan dengan Dap yang jelas rasis terhadap orang Melayu.

“Sejarah tidak pernah menipu apa yang pernah Tun lakukan terhadap politik orang Melayu demi kepentingan dirinya dan kini bila terdesak, Tun mula bermain dengan sentimen kuasa orang Melayu yang semakin meruncing,” jelas beliau.

Justeru katanya, sekiranya Tun ikhlas demi survival politik Melayu maka Tun dan PPBM perlu kembali kepada UMNO yang menjadi tulang belakang orang Melayu sejak dari dulu lagi.

“Kesimpulannya, UMNO akan terus istiqamah bersama PAS, mengukuhkan gerak-kerja bersama parti komponen BN yang lain dan sedia bekerjasama dengan mana-mana parti demi kepentingan Melayu dan Islam tapi untuk dibubar atau dikuburkan parti keramat ini, tidak sama sekali,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.