Apa Tujuan Dap Minta Bersolidariti Dengan Penghina Institusi Raja?


KUALA LUMPUR, 10 Julai – Makin terserlah warna sebenar DAP apabila pimpinannya mengajak rakyat bersolidariti sebagai bantahan terhadap hukuman penjara yang ditambah ke setahun oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Wan Ji kerana menghina Sultan, bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dususki.

“Jika kita membaca alasan penghakiman, adalah jelas penghinaan yang dibuat oleh Ustaz Wan Ji yang juga pernah menjadi Penasihat Agama Lim Guan Eng terhadap Sultan Selangor melalui status-status yang dimuatnaik dalam Akaun Facebook beliau.” Katanya yang turut menyertakan pernyataan pertuduhan menerusi kenyataan dalam Facebook beliau hari ini.

Justeru katanya, adalah tidak wajar Dap mengajak rakyat untuk mempertahankan seorang yang telah pun dijatuhkan hukuman sebagai pesalah oleh mahkamah.

“Apatah lagi melibatkan isu yang amat serius yang berkaitan penghinaan kepada institusi Raja yang merupakan payung negara dan pemelihara Agama Islam,” tegas beliau lagi.

Wan Ji dipenjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak ra¬yuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Sharafuddin.

Wan Ji yang pada 2017 dilantik sebagai Pegawai Penerangan kepada Lim Guan Eng sewaktu Menteri Kewangan itu bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang menerima hukuman selama setahun penjara setelah Hakim, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman asal berikutan memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas Wan Ji selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.