5 Soalan Untuk PH, Mengapa Kerajaan Percepat Pencantuman Tanah


KUALA LUMPUR, 10 Julai – Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (PEMBELA) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terpanggil untuk menyuarakan beberapa persoalan mengenai permintaan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed untuk mempercepatkan rancangan pencantuman (amalgamasi) tanah-tanah peneroka FELDA.

Pengerusinya, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan bahawa perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga bertanggungjawab ke atas FELDA, Datuk Seri Muhammad Azmin Ali semalam.

Sehubungan itu katanya, PEMBELA dan Pemuda UMNO telah membangkitkan persoalan-persoalan untuk dijawab dengan jelas dan segera.

“Tanpanya para peneroka akan terus keliru dan boleh menjejaskan kepentingan mereka terutamanya hak milik tanah ladang-ladang mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selaku badan bertindak Pemuda UMNO bagi isu-isu kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil Sawit, PEMBELA ingin membangkit perkara seperti berikut:

1) Mengapakah Kerajaan begitu tergesa-gesa untuk melaksanakan perkara ini walaupun sebilangan besar peneroka masih belum memahami model baharu yang diperkenalkan oleh Kertas Putih FELDA tempoh hari.

2) Apakah kaedah pajakan tanah jangka panjang dipilih oleh FELDA. Apakah Kerajaan Negeri akan terlibat di dalam proses perjanjian pajakan tanah ini kerana Hal Ehwal Tanah masih dibawah kuasa Kerajaan Negeri walaupun ada sekatan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (GSA) dan ada peneroka telah menerima sijil pemilikan tanah masing-masing dari Kerajaan Negeri.

3) Apakah Kerajaan berhasrat untuk meminda Sekyen 15 Akta GSA bagi membolehkan Sekatan Kepentingan diubah dan kaedah pajakan boleh dilaksanakan.

4) Apakah FELDA telah mendedahkan formula pengiraan kadar sewaan pajakan jangka panjang kepada para peneroka yang terlibat? Berapakah kadar nilai sewaan per ekar yang dicadangkan FELDA kepada peneroka yang menyertai model ini. FELDA harus melibat urus para peneroka kerana sebarang persetujuan pajakan tanah memerlukan pampasan setimpal dan berpatutan.

5) Sekiranya FELDA menggunakan kaedah pajakan tanah, adakah FELDA mempunyai kapasiti kewangan untuk menambah Liabiliti yang bakal diwujudkan di dalam akaun Penyata Imbangan FELDA. Setiap pajakan adalah LIABILITI bagi FELDA dan YB Menteri MEA sendiri telah menyifatkan kenaikkan Hutang dan Liabiliti FELDA selama dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) adalah ‘kedurjanaan korporat’ sewaktu pembentangan Kertas Putih FELDA. Adakah YB Dato Seri Muhammad Azmin Ali ingin menambah kedurjanaan pada FELDA dan para peneroka? – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.