Terima Kasih Tun, Akui Bersatu Tidak Boleh Jadi Wadah Penyatuan Melayu


KUALA LUMPUR, 9 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melihat kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa penubuhan parti baru bukan jawapan kepada masalah yang dihadapi orang Melayu amat dialu-alukan dan wajar di sokong.

Katanya, pandangan Tun bahawa UMNO, PAS, Bersatu dan Amanah sudah memadai memperjuangkan nasib orang Melayu, dan orang Melayu boleh menyertai mana-mana parti, tak semestinya Bersatu juga dialu-alukan.

“UMNO mengucapkan terima kasih atas pengiktirafan ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook beliau, hari ini.

Katanya, kita memahami kesukaran Tun untuk meneruskan pelaksanaan terhadap kenyataan yang terdahulu, iaitu penyatuan Melayu melalui Bersatu, kerana kekangan yang dihadapi parti itu akibat tentangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.

“Ini bermakna Bersatu tidak boleh menjadi wadah penyatuan orang Melayu selagi mereka bergantung kepada talian hayat dari parti bukan Melayu dalam PH, khasnya Dap.

“Namun kita amat menghargai keprihatinan Tun tentang politik orang Melayu, satu isu yang amat dekat di hati dan perjuangan politik Tun sendiri.

“Kita percaya Tun tetap punya peranan dan komitment kearah penyatuan dan perpaduan Melayu.”

Ujarnya, tinggal lagi pendekatan yang lebih praktikal dan berkesan perlu terus di cari.

“Kita mendoakan Tun terus diberi kekuatan untuk memikirkan dan mencari jalan bagaimana penyatuan dan perpaduan Melayu dapat dijayakan.”

Tegas beliau, UMNO akan meneruskan usaha dengan berkerjasama dengan PAS di blok pembangkang sebagai satu perintis kepada penyatuan Melayu kearah membina muafakat nasional yang lebih besar.

“UMNO dan PAS akan dipandu oleh satu piagam bersama yang semestinya akan berusaha kearah membentuk penyatuan yang lebih besar, insya-Allah.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.