Rakyat Perlu Didedahkan Kebenaran Dan Ketelusan Dari Kerajaan – Lokman

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Pengerusi Sekteriat Suara Rakyat Malaysia, Datuk Lokman Nor Adam berkata rakyat perlu didedahkan dengan kebenaran dan ketelusan berhubung siasatan mengenai video seks luar tabi’e yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Serentak itu, beliau mengumumkan pihaknya akan menggunakan kepakaran daripada agensi pakar video forensik Indonesia yang mana agensi tersebut kerap digunakan oleh kerajaan dalam kes-kes melibatkan ketulenan sesuatu video yang biasanya dibicarakan di mahkamah di negara tersebut.

“Saya akan bawa 20 ‘still picture’ dan begitu juga 12 video baik dalam program mahu pun ceramah untuk disuai padan dengan video itu. Ini bermakna pakar terbabit akan ada akses kepada gambar-gambar di luar bilik hotel dan ianya disuai padan kelak.

“Kita terpaksa menggunakan pihak luar untuk menyelidik. Kita akan dapat tahu segenap aspek termasuk kejelasan gambar dan sebagainya. Langkah pertama kami mendapatkan laporan forensik ini dan keputusan berkenaan kita akan serahkan kepada pihak polis,” katanya pada sidang media di luar bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan, polis masih menyiasat kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menyelesaikan siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

“Biar PDRM menjalankan tugasnya sebelum ia (hasil siasatan) diserahkan kepada saya dan Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga PDRM di Pulapol, Kuala Lumpur. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.