Peneroka ‘Angkat Kaki’ Sebab Muak Sikap Berpolitik Pemimpin PH – Ahmad

 

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mencantum tanah-tanah peneroka Felda menjadi ladang besar adalah satu cadangan yang tidak praktikal.

Jelas beliau, dek kerana bosan dengan segala janji dan cadangan yang tidak menguntungkan maka peneroka Felda akhirnya ‘angkat’ kaki daripada mendengar ucapan Perdana Penteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2019 bertemakan ‘Peneroka Mandiri, Felda Lestari’ di Felda Selancar 3 baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas video tular di media sosial yang menunjukkan majlis tersebut tidak mendapat sambutan.

“Saya yakin tahap kepercayaan masyarakat Felda kepada kerajaan PH sudah sangat rendah kerana satu daripada 10 janji 100 hari PH iaitu mengurangkan atau memansuhkan hutang peneroka Felda namun sehingga kini tidak ada satu pun yang dimansuhkan. Janji itu adalah antara perkara utama ramai peneroka mengundi PH dahulu.

“Kandungan kertas putih Felda pula ada perkara yang tidak boleh dilaksanakan tetapi menjadi saranan utama. Sebagai contoh, kebun peneroka dikumpul dan dijadikan ladang. Saya ada bertanya dalam Dewan Parlimen tetapi tidak dijawab.

“Saya tanya berapa ramai sudah setuju untuk menyewa ladang mereka, apakah pendapatan sebulan daripada sewaan dan berapa luas tanah peneroka yang terlibat. Tidak dijawab… kosong… sedangkan itu cadangan utama kertas putih Felda. Jadi, disebabkan tidak ada jawapan maka tidak hairanlah peneroka ‘lari’ masa majlis di Rompin itu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ahmad, rakyat sudah bosan dengan ucapan politik pemimpin PH sedangkan masalah rakyat terutamanya peneroka Felda ini tidak dipedulikan.

“Dulu (semasa pemerintahan BN) setiap kali hari peneroka ada sahaja berita baik yang praktikal diumum tapi sekarang tidak ada. Ini menyebabkan peneroka bosan dan muak.

“Sambutan Hari Felda tetapi tidak ada khabar istimewa untuk mereka sedangkan kehidupan mereka semakin terhimpit,” ulasnya lagi.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pula berkata, kerajaan PH perlu berhenti berpolitik sepanjang masa dan tumpu kepada kerja-kerja yang telah diamanahkan oleh rakyat.

“Bagi saya, kerajaan tidak perlupun nak kumpul semua ladang peneroka dan jadikan estet. Kerajaan sekarang ini tidak perlu nak buka Felda lagi macam dulu tetapi hanya perlu menumpukan kepada bagaimana nak meningkatkan harga pasaran, manipulate harga untuk menjadi lebih tinggi untuk meningkatkan keceriaan peneroka.

“Sejarah Felda, sejak ditubuhkan kerajan tumpukan untuk beri keselesaan hidup kepada peneroka, kuasai produk Felda, tidak perlu buat estet tapi hanya perlu kawal pembelian harga kelapa sawit dan getah… jadikan harga yang dikawal dengan mencari pasaran yang boleh dipertingkatkan.

“Sekarang dah ada China dan Jepun… masih ada pasaran yang lebih luas sebagai contoh Amerika Selatan, Afrika… ini peluang yang perlu diambil. Bukan berpolitik sepanjang masa,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.