Hala Tuju Jelas… Perkasakan UMNO, Bertaawun Dengan PAS, Persiap Hadapi PRU-15
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi hala tuju yang cukup jelas iaitu untuk memperkasakan UMNO, bertaawun dengan PAS dan mempersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, dalam mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung selama tiga jam malam tadi, semua pemimpin negeri dan pegawai parti yang hadir mengalu-alukan kesediaan Presiden untuk kembali menggalas tugas.
“Kehadiran penuh hampir 100 peratus… semua negeri dan pegawai parti mengalu-alukan kesediaan Presiden kembali menggalas tugas. Presiden juga memberi hala tuju cukup jelas, perkasa UMNO, bertaawun dengan PAS dan mempersiap hadapi PRU-15,” katanya menerusi lontaran dalam tweeternya.
Dalam perkembangan yang sama, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa Presiden UMNO telah menegaskan menolak kerjasama dengan Presiden PKR kerana mereka bersama Dap.
“Dalam mesyuarat ini juga bersetuju UMNO bersedia menerima pandangan jika parti-parti Melayu ini dapat berkerjasama dalam satu pakatan demi kepentingan Melayu dan Islam namun UMNO tidak akan dibubarkan,” maklum beliau sebagaimana yang dipetik dari laman Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, dalam sidang media di Parlimen semalam, Ahmad Zahid juga telah menegaskan walaupun Barisan Nasional (BN) dan UMNO sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk menerima realiti politik namun tidak boleh menerima mana-mana parti yang bersekongkol dengan Dap kerana membawa agenda Malaysian Malaysia. – MediaUMNO