Bukan Hanya Soal Umur… Anak Muda Mahu Kerajaan PH Beri Tumpuan, Tunai Janji-janji

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah percaya anak-anak muda hari ini melihat dengan dekat sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap golongan terbabit terutama yang melibatkan janji sebelum ini.

Menurut beliau seharusnya kerajaan hari ini mengambil pendekatan dan langkah yang terbaik dalam usaha menyelesaikan segala permasalahan yang membelenggu anak muda dan bukannya sekadar tertumpu kepada pindaan had umur semata-mata.

“Anak muda hari ini sedang melihat bagaimana kerajaan hari ini memainkan peranan. Saya tidak berniat untuk memburuk-burukkan kerajaan tetapi saya hanya memberi fakta. Faktanya adalah sepuluh janji dalam 100 hari yang pertama itu tidak akan boleh ditunaikan sampai bila-bila kerana 100 hari itu sudah berakhir.

“Jangan salahkan anak muda hari esok apabila anak muda mengkritik kerana ini sebenarnya kehendak anak muda. Tunaikan janji kepada mereka tetapi apabila hanya tertumpu kepada had umur, kepimpinan belia… faktor lain pula bagaimana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Diskusi Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi facebok UMNO-Online, di sini malam tadi.

Sepatutnya tegas beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO, perlu dijelaskan dan diberitahu dana keusahawanan untuk anak-anak muda berapa yang sudah dipakai, projek apa yang sudah dibuat, satu juta pekerjaan yang akan diwujudkan untuk anak-anak muda berapa.

Tegas beliau lagi kerajaan terutama Kementerian Belia dan Sukan perlu meneliti dan mendalami suasana dan kehendak anak-anak muda hari ini.

“Kena faham keadaan semasa hari ini. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) setiap tahun atau dua tahun sekali membuat survey… tajuknya ‘internet user survey 2018’. Difahamkan pengguna internet sekarang ini  27.8 juta meningkat 10.8 atau 10.7 peratus daripada 2016. ini maknanya apa?

“Ini bermakna kita berada dalam keadaan digital. Sepatutnya Kementerian Belia dan Sukan tumpukan sepenuhnya kepada peluang-peluang peningkatan ekonomi kepada dunia digital, sepatutnya beri tumpuan memperkasakan ‘digital free trade zone’ dan sebagainya lagi,” ujarnya.

Ujar beliau lagi ‘road’ itu sudah ada dan laksanakan apa telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang memberi tumpuan kepada anak-anak muda.

“Anak muda hari ini amat gemar kepada ‘hand phone’. Umur 20 tahu melalui survey yang dibuat oleh internet user survey SKMM memberitahu setiap hari anak muda lapan jam menggunakan internet.

“Apakah tujuan mereka… untuk mendapatkan maklumat. Ada ekonomi yang baik dan ada pengetahuan yang baik sudah pasti mereka inilah yang akan merekabentuk warna-warna Malaysia pada masa akan datang. Tumpukanlah ekonomi dan tambahkan pengetahuan anak-anak muda yang ada pada hari ini dan ini asasnya,” tambah beliau.

Beliau seterusnya melontarkan keyakinan bahawa masih belum terlambat kerana sudah ada ruang-ruang yang menunjukkan bahawa kerajaan mesti menumpukan kepada apa yang sedang berlaku dan anak muda hari ini terbelenggu dengan pelbagai masalah kewangan.

“Bantu mereka dan selesaikan masalah anak muda. Sediakan rumah anak muda yang mudah dimiliki dan mudah dibayar. Selesaikan isu poket anak muda. Dikala ekonomi sedang jatuh kerajaan kena bantu mereka,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.