Tular Surat Akuan Sumpah, UMNO Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 8 Julai – UMNO hari ini membuat laporan polis berhubung penularan surat akuan sumpah Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini, hari ini. 

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas menafikan beliau menandatangani surat akuan sumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak menandatangani surat berkenaan. Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru beliau menyatakan dengan tegas semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan bukan oleh beliau secara individu. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.