Sibuk Berpolitik, Kebajikan Rakyat Tak Dipeduli… Cukup-cukuplah Berpolitik – Hishammuddin

 

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau tidak melihat mana-mana pihak mengambil kira keadaan rakyat dan ekonomi negara yang semakin teruk hanya kerana terlalu sibuk berpolitik sepanjang masa.

Justeru jelas beliau, sebarang keputusan yang hendak diambil berkaitan pelawaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menawarkan UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) haruslah demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

“Saya mengingatkan semua pihak agar jangan sombong, takbur dan angkuh dalam isu perpaduan ummah ini lebih-lebih lagi perpaduan yang berkaitan umat Melayu kerana rakyat sedang perhatikan kita. Bukan sahaja dalam UMNO dan PAS tapi termasuk juga dari pihak yang menawarkan kerjasama ini.

“Kedua, dalam nak bincangkan kesatuan ini, penting juga difahami masyarakat ini adalah masyarakat majmuk jadi bagaimana pula penyatuan antara kaum? Sebab itu dalam nak fikirkan hala tuju ke hadapan, perlu ambil kira semua sentimen. Inilah yang saya tekankan sebelum ini.

“Kalau tawaran ini boleh mengurangkan politik, alhamdulillah tapi kalau ia akan mengeruhkan lagi keadaan… siapa yang akan tengok ekonomi negara, siapa akan tengok nasib peneroka-peneroka kita, keselamatan negara di MinDef? Kalau itu perkara yang dibincangkan hari-hari, saya tidak tengok mana-mana pihak mengambil kira keadaan rakyat,” ujar beliau kepada media di Parlimen hari ini.

Tambah beliau, rakyat sebenarnya sudah penat dan muak dengan suasana berpolitik setiap masa.

“Jadi cukup-cukuplah berpolitik… rakyat sudah penat dan muak dengan berpolitik sepanjang masa ni sehinggakan kebajikan rakyat dan ekonomi negara tidak dipedulikan.

“Saya nak ‘move on’. Kita kena fokus kepada rakyat dan ekonomi.

“Kalau nak bersatu biar bersatu dalam hati ikhlas, wajah dan cara yang jujur. Biar rakyat berbilang kaum nampak kita meletak kepentingan mereka sebagai keutamaan,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.