Sepuluh Sebab Mengapa Peneroka Marah PH, Azmin Di ‘Boo’


KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius dan turut merasai kekecewaan dan keperitan hidup selama 13 bulan warga peneroka selepas pemerintahan baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan segera menghentikan sandiwara menyalahkan kerajaan lama sebaliknya fokus kepada usaha menangani isu peneroka secara tuntas dan komprehensif sebagaimana yang dimanifestasi mereka dalam Hari Peneroka Kebangsaan kelmarin.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan, peneroka beramai-ramai meninggalkan majlis tatkala Perdana Menteri sedang berucap dan secara terbuka ‘Boo’ Datuk Seri Azmin Ali ketika giliran beliau berucap di FELDA Selancar 3 Muazam Shah Pahang,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya juga, Dr Asyraf menyenaraikan sepuluh sebab mengapa kemarahan peneroka dan pekebun kecil terhadap kerajaan PH tampak tidak boleh dibendung lagi, seperti berikut:

1) Peneroka masih tidak nampak dasar produktif Kerajaan untuk meningkatkan harga sawit di pasaran. Harga Buah Tandan Segar (BTS) sawit per tan masih berada di bawah paras pra-PRU14 iaitu RM369 setakat 5 Julai 2019 berbanding RM510 pada 30 April 2018 (sebelum BN tumbang).

2) Harga Minyak Mentah Sawit (CPO) juga masih rendah iaitu RM1,872.00 setakat 5 Julai 2019 berbanding RM2,349.50 pada 30 April 2018 (sebelum BN tumbang).

3) Rata-rata kehidupan peneroka FELDA skim sawit kini makin tertekan dengan pendapatan bulanan bersih hanya sekitar RM300-RM400 sebulan selepas ditolak kos operasi ladang dan pemotongan-pemotongan lain seperti hutang D’Mart, hutang sosio-ekonomi (pinjaman pembesaran rumah, komputer, usahawan), caruman keceriaan kampung, caruman tanam semula dan lain-lain. (Berbanding di zaman BN peneroka memperoleh pendapatan bulanan bersih sekitar RM2,500-RM4,000 sebulan).

4) Kegagalan FELDA melaksanakan polisi pendapatan peneroka minima sebanyak RM1,000 sebulan melalui penangguhan pemotongan hutang-hutang sosio-ekonomi dan caruman-caruman yang bersesuaian kerana kedudukan kewangan FELDA yang lemah serta kelembapan MEA meyakinkan YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan untuk meluluskan bantuan kewangan kepada FELDA.

5) Ketiadaan wakil Peneroka dan Penerokawati dalam Lembaga FELDA untuk menjamin dan memperjuangkan nasib dan kepentingan peneroka di dalam sebarang keputusan penting di peringkat pengurusan tertinggi FELDA tidak seperti di zaman BN memerintah.

6) Cadangan Kertas Putih FELDA untuk mengambil alih tanah-tanah milik mereka melalui pajakan jangka panjang oleh FELDA dimana mereka tidak lagi mempunyai suara dan kawalan ke atas aset tanah ladang 10 ekar yang telah sekian lama (puluhan tahun) mereka nantikan surat pemilikan dari Kerajaan Negeri masing-masing.

7) Kerajaan PH cuba mengelirukan peneroka bahawa sekiranya tanah-tanah peneroka diuruskan seperti estet, pulangan hasil peneroka lebih tinggi, walhal selama ini sebahagian ladang-ladang peneroka diuruskan secara berkelompok oleh FELDA dan Felda Technoplan (FTP) tanpa kehilangan kawalan milikan tanah ladang mereka.

8)Perlupusan Hutang Peneroka yang dicadangkan tidak memberikan layanan yang adil kepada peneroka yang bertanggungjawab membayar hutang dan yang tidak berhutang atau Sifar Hutang. Tiada perbincangan dan perincian mengenai kaedah dan kadar perlupusan hutang peneroka setakat ini.

9) Seramai 7,839 peneroka adalah Sifar Hutang dan mereka telah lebih awal berdikari dan mandiri. FELDA seharusnya memberikan bayaran tunai yang setimpal kerana mereka tidak akan menerima apa-apa manfaat dari perlupusan Hutang Peneroka yang dicadangkan oleh Kerajaan.

10) Azmin Ali juga ternyata gagal meyakinkan Perdana Menteri dan terutamanya rakan kabinetnya dari Kementerian Industri Utama, YB Teresa Kok untuk meningkatkan harga minyak sawit global melalui pelbagai usaha meluaskan eksport kelapa sawit negara ke pasaran baru dan meningkatkan permintaan pasaran sedia ada seperti China, India, Pakistan serta Kesatuan Eropah (EU). – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.