Bila Perpaduan Ummah UMNO-PAS Jadi Igauan Ngeri PH… UMNO Dipelawa Sertai PPBM

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Laungan Perpaduan Ummah menjadi igauan ngeri Pakatan Harapan (PH) kerana gelombangnya bertiup di seluruh pelusuk negara dan lebih menakutkan PH apabila UMNO dan PAS menyatakan akan mengeluarkan Piagam Perpaduan Ummah tidak lama lagi mengenai kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam terbesar dalam Malaysia ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menganggap UMNO dan PAS tidak perlu masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) namun kerjasama semua parti politik Melayu Islam ke arah perpaduan ummah adalah keutamaan.

“Sebelum PRU14, rakyat rasakan tak salah malah bersemangat nak cuba tukar kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) di bawah UMNO kepada PH kerana janji manis mereka tapi paling utama bila parti-parti dalam PH nyatakan mereka juga akan menjaga kepentingan ABATA sama seperti UMNO malah lebih baik., akhirnya rakyat buat keputusan untuk mencuba.

“Tetapi selepas PRU14 setelah lebih satu tahun mandat diberikan pada PH, rakyat mula sedar apa yang mereka harapkan tidak jadi kenyataan.

“Ekonomi negara makin lemah, kos sara hidup makin tinggi, janji PRU14 tinggal janji dan paling utama kini rakyat lihat bila kepentingan agama dan bangsa dilihat mula dicarik-carik oleh kerajaan, paling menyedihkan pimpinan PH beragama Islam dan Melayu dilihat diam berpeluk tubuh walaupun nampak apa yang berlaku, penyokong-penyokong PH sebelum ini dulu yang kuat hentam BN kini dilihat berdiam diri kerana dalam hati mereka tahu mereka telah buat kesilapan.”

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media sebagai maklum balas terhadap pelawaan Tun Dr Mahjathir Mohamad untuk parti-parti politik Melayu menyertai PPBM.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menegaskan bahawa, sejak awal pendiriannya adalah konsisten demi Islam, Melayu dan Bumiputera harus bersatu demi menjaga kepentingan ABATA dalam negara.

“Selepas 9hb Mei 2018, UMNO dan BN teruk dihina dan dikeji malah paling menyedihkan bila ramai kawan-kawan dulu yang kita lihat baik tapi mula berubah serta beralih sokongan. Bukan sekadar mereka tinggalkan UMNO malah mereka bangga menghina UMNO kerana nak tunjukkan pada PH mereka kini menyokong kerajaan baru.

“UMNO dan BN istiqamah dalam perjuangan dan konsisten nyatakan agar kepentingan ABATA adalah agenda utama, kerana sepanjang zaman pemerintahan UMNO dan BN senantiasa berpegang pada Perlembagaan Negara.”

Katanya, UMNO bangkit mengorak langkah untuk dapatkan sokongan rakyat.

“Syukur alhamdulilah satu perkara yang tidak terlintas dalam pemikiran rakyat Malaysia bila dua parti Melayu Islam terbesar mula berbincang dan duduk semeja demi perpaduan ummah.

“Pada mulanya ramai yang tidak yakin UMNO dan PAS boleh duduk semeja, tetapi hari ini landskap politik negara sudah berubah dan sokongan rakyat terhadap penyatuan ummah makin diterima oleh jutaan rakyat Malaysia.”

Sehubungan itu, beliau dengan tegas menyatakan untuk tetap teguh setia bersama UMNO dan PAS kearah perpaduan ummah.

“Ketepikan perbezaan, ketepikan perpecahan dan sama-sama kita fokus ke arah memantapkan penyatuan ummah demi kepentingan Malaysia tercinta.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.