UMNO Ikhlas Dalam Kerjasama, Tak Akan Khianati PAS

TAMBUN, 7 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO ikhlas dalam menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Jelasnya, jalinan hubungan akrab antara UMNO dan PAS ini amat ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat dan hubungan ikhlas yang terjalin antara dua parti terbesar orang Melayu ini telah menyebabkan Pakatan Harapan (PH) menjadi risau.

“Kalau PAS ikhlas dengan kita maka kita juga ikhlas dalam mengadakan hubungan kerjasama ini.

“Insya-Allah… UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan pernah mengkhianati PAS sepertimana PAS yang pernah dikhianati dulu,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tambun.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan semasa PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) dulu PAS telah dikhianati oleh rakan mereka sendiri iaitu parti Dap yang anti kepada Islam.

“Dulu apabila PAS bercadang hendak membuat hukum hudud, Dap yang tidak senang hati dengan cadangan tersebut dan terus mengkhianati PAS.”

Katanya, sebagai parti pembangkang UMNO dan PAS bertekad untuk merampas negeri ini dan juga membentuk sebuah kerajaan.

“Kita harus memperkasakan parti diperingkat bahagian, negeri dan nasional. Setiap perhubungan negeri wajib mengadakan konvensyen UMNO.

“Kalau kita mahu mengasah kuku, asahlah dari sekarang dan simpanlah kuku itu untuk tunjukkan kehebatan pada masa akan datang.”

Ahmad Zahid turut menasihati kepada ahli-ahli UMNO agar menggunakan media sosial dengan cerdik dan jangan menghentam sesama ahli atau menembak sesama kaki sendiri.

“Cukuplah… gunakan media sosial ini sebaik mungkin.

“Jangan berpecah-pecah kerana berpecahlah maka banyak tamadun dunia jatuh termasuk tamadun Islam dan juga tamadun Melaka,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.