Selesai Perpecahan Dalaman UMNO, Elak Beri Kesan Usaha Penyatuan Ummah

PULAU PINANG 7 Julai – Agenda penyatuan ummah yang digerakkan antara UMNO dan Pas ketika ini tidak akan memberi makna sekiranya masih terdapat perpecahan dalam kalangan ahli UMNO sendiri khususnya di peringkat bahagian dan cawangan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perpecahan itu hanya akan dinilai parti lawan sebagai kegagalan kepada usaha kerjasama lebih besar antara UMNO dan Pas tersebut apabila UMNO sendiri dilihat masih bercakaran sesama sendiri

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menambah, perpecahan tersebut juga akan menjadi penghalang kepada usaha UMNO merampas semula kerusi-kerusi yang gagal dikuasai pada pilihan raya umum lalu.

“Sebab itu kalau ada faktor-faktor yang boleh menyebabkan kekalahan kepada UMNO perlu diselesaikan, jika ada perpecahan dalaman tolong selesaikan.

“Ahli UMNO perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih-lebih lagi di kerusi yang kita kalah kerana disebabkan perpecahan dalaman,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Syeikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.

Menurut Ismail Sabri, landskap politik selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan juga memerlukan ahli UMNO mengetepikan kepentingan peribadi sebaliknya benar-benar meletakkan perjuangan agama Islam dan orang Melayu sebagai agenda utama.

Katanya, ahli UMNO perlu sedar prinsip penyatuan ummah UMNO dan Pas ketika ini tidak akan berjaya sekiranya kedua-dua parti hanya memperjuangkan kepentingan parti sendiri melangkaui kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

Dalam masa sama, beliau menggesa ahli-ahli UMNO mengambil kesempatan daripada perpecahan dalaman parti komponen Pakatan Harapan (PH) ketika ini untuk memperkukuhkan UMNO sekali gus dinilai parti yang kuat dan stabil dalam melindungi kepentingan rakyat. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.