Jangan Leka Dengan Buaian Mimpi -Tok Mat

REMBAU 7 Julai – Semua ahli UMNO diingatkan supaya tidak leka dengan buaian mimpi yang diada-adakan bertujuan melalaikan dan mengalih tumpuan mereka daripada matlamat dan perjuangan parti itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka perlu bersiap sedia mulai sekarang dan tidak menunggu sehingga saat-saat akhir untuk berbuat demikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, perkembangan politik sejak akhir-akhir ini seperti pertelingkahan dalaman parti yang memerintah boleh menjadi petanda bahawa kerajaan mungkin tidak menunggu sehingga mandatnya selama lima tahun berakhir untuk mengadakan pilihan raya umum.
“Kita mesti susun strategi menghadapi apa jua kemungkinan yang berlaku. Susunan perjuangan ini penting kerana ia dapat membantu kebangkitan semula UMNO.

“Seperti yang saya tegaskan, hala tuju UMNO ketika ini ialah memperkasa parti. Baiki semula kerosakan dan betulkan mana yang salah,” katanya dalam ucapan dalam majlis perasmian serentak Persidangan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di Kuala Sawah dekat sini hari ini.
Seramai 1,323 perwakilan daripada ketiga-tiga sayap UMNO bahagian tersebut hadir pada majlis itu.

Mohamad berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, UMNO mesti berpegang kepada nilai-nilai baik dan berupaya menyebar luas imej yang disenangi oleh setiap lapisan masyarakat.

Jelasnya, ia termasuk percakapan dan bahasa yang baik sesuai dengan perjuangannya lebih 73 tahun lalu.

“Kita tidak boleh syok sendiri. Walaupun kita ada 3 juta ahli, ia bukan alasan yang mampu menjamin kemenangan dalam pilihan raya,” ujarnya.

Menurutnya, UMNO juga perlu menghantar mesej jelas bahawa ia adalah parti yang memelihara kemajmukan negara ini supaya semua kaum berasa senang untuk bersama-sama dengannya.

“Dahulu UMNO boleh diterima oleh semua kaum, mengapa tidak sekarang? Kita sepatutnya di garisan tengah, tidak terlalu ke kanan atau ke kiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.