Sekretariat Suara Rakyat Mahu Isu Rakyat Dibela

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Sekretariat Suara Rakyat hari ini mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan pandangan terhadap beberapa isu yang berlaku dalam negara.

Berdepan di pekarangan Kompleks Sogo, Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam dengan lantang mencungkil beberapa isu antaranya LGBT, isu yang melibatkan kontroversi video yang dikatakan melibatkan pimpinan kerajaan serta ‘Rule Of Law’ yang menimbulkan kesangsian.

Pada sidang media selepas perhimpunan aman berkenaan, Lokman memberitahu rakyat tentunya tidak mahu isu yang melibatkan video kontroversi tidak ditutup apatah lagi mahu disorok di bawah karpet.

“Kita mahu isu ini sentiasa hidup dan kerja kita pembangkang. Kalau kita tidak lawan dia orang ini siapa lagi yang akan lawan.

“Takkan kita ada ‘peluru’, kita mahu simpan ‘peluru’ kita, kita nak gilap ‘peluru’ kita, kita nak tunggu sehingga ‘peluru’ ini digunakan untuk ‘menembak’ kita balik… jadi apabila ada ‘peluru’ kita kena serang… lawan tetap lawan,” katanya.

Pada sidang media yang sama beliau turut menjelaskan tindakannya sebelum ini berhubung video yang menimbulkan kontroversi bukan untuk mengaibkan sesiapa.

“Saya nak beritahu saya membuat laporan polis pada 11hb lalu adalah untuk meminta supaya siapa yang menyebarkan video lucah ini disiasat oleh pihak polis. Saya bukan menyebarkan video lucah dan saya cuma minta pihak polis siasat siapa yang sebar.

“Keduanya saya minta pihak polis menyiasat siapa yang berlakon di dalam video berkenaan. Sebab ianya satu jenayah dan tidak timbul ada orang mengatakan bahawa kita mendedahkan keaiban… ini bukan soal aib.

“Itu sebab saya ambil pendekatan Islam dibolehkan melakukan kemudaratan kecil untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Saya rasa membuat laporan polis tidak mudarat mana,” katanya.

Pelbagai sepanduk kelihatan antaranya ialah, jangan biarkan negara dipimpin oleh LGBT, rakyat mahu tonton EPL percuma bukan lihat video semburit percuma, PDRM sila segerakan siasatan yang telus dan sebagainya lagi.

Perhimpunan selesai dalam suasana yang aman dan kelihatan anggota polis turut mengawal keadaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.