PH Kerajaan Yang Gagal… Rakyat Makin Terabai – Ismail Sabri
SUNGAI PETANI, 6 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan peristiwa hitam melanda UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 ada hikmahnya.
Katanya, sepanjang kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara banyak jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh pemimpin BN terhadap kebajikan rakyat, namun selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih habis aset negara dijualnya dan memberikan pelbagai alasan hutang semasa pentadbiran BN.
“Kerajaan PH tidak mampu menjaga negara ini dengan baik, habis aset-aset kerajaan yang ada kaitan dengan institusi Melayu dan Islam diratah dan dijual seperti Tabung Haji, Felda, Khazanah dan pengawasannya diletakkan orang bukan Islam untuk menjaga institusi Melayu malah dua orang ahli majlis Khazanah juga dari negara China.
“Pentadbiran kerajaan dahulu lagi bagus dan baik berbanding kerajaan sekarang ini. Kerajaan baru ini ternyata ‘gagal’ dalam menjaga kepentingan rakyat,” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Petani, Ahmad Fadzli Hashim, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Anuar Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menambah rakyat terlalu kecewa terhadap PH yang semakin hari mengabaikan tanggungjawab menjaga kebajikan mereka khususnya golongan peneroka, petani dan juga nelayan.
Tambahnya lagi, rakyat semakin susah dan menderita semenjak PH memerintah namun sekarang ini rakyat mula sedar di atas kesilapan mereka memilih PH semasa PRU lalu.
“Kerajaan PH ini wujud atas fitnah dan pembohongan yang cukup besar.
“Bila hutang banyak mereka menjual harta kerajaan, negara semakin teruk… ekonomi pun semakin merudum bahkan mereka sanggup meminjam ‘bon samurai’ untuk melunaskan hutang terdahulu.”
Katanya, kerajaan PH hanya pandai memutarbelitkan fakta-fakta dan memperburukkan kerajaan BN dengan mengatakan kerajaan BN banyak berhutang.
“Pelabur-pelabur asing sudah tidak berani lagi untuk melabur kerana negara ini tiada kestabilan politik dan ekonomi, pelabur luar keliru siapa yang akan jadi Perdana Menteri sebelum mereka masuk untuk melabur.
“Pelabur asing sudah banyak keluar dan melabur di negara lain kerana mereka tidak yakin dan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran PH,” tegasnya lagi.
Sebelum itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff menekankan pentingnya kerjasama UMNO-PAS untuk kemenangan dalam PRU-15. – MediaUMNO