Tugas Besar Kita Selamatkan Negara, Negara Semakin Rosak Di Bawah PH

 

BATU PAHAT, 5 Julai – Semua pendukung parti mempunyai tugas yang amat besar sebelum negara ini semakin rosak di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), seru Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Malaysia Baharu yang dicanangkan oleh PH tidak menjadikan negara semakin lebih baik berbanding ketika di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Apa yang lebih baik dari BN? Hutang negara yang dahulunya RM686 bilion kini menjadi RM800 bilion. Kutip derma nak bayar hutang tapi hutang jadi lagi banyak.

“Harta-harta kerajaan sedang difaraidkan, dijual seperti harta Tabung Haji dan Khazanah. Pertumbuhan ekonomi yang dahulu berkembang 5.8% sekarang 4.7%. Harga barang tetap naik, harga minyak tak turun,” tegas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Annuar berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Sulong, Halim Kepol.

Bahkan kesalnya juga, banyak dasar-dasar kerajaan PH yang menjadi ‘jarum’ yang boleh membahayakan akidah umat Islam serta kesucian agama semakin ditekan kerana orang Islam yang diberi kuasa, amanah menjaga agama kini lebih mahu menjaga hati rakan-rakan yang liberal.

Kerana itulah jelasnya lagi, kini adalah masa paling tepat umat Islam di negara ini menunaikan fardhu kifayah bersatu merampas kembali kuasa Putrajaya.

“Ulamak muktabar ada mengatakan bagi negara yang mempunyai majoriti Islam, menjadi fardhu kifayah untuk menegakkan negara Islam.

“Ini bukan perkara kecil, orang Melayu, Islam yang tidak ikut gerakan ini akan rugi besar.

“Orang bukan Islam tak perlu takut kerana sudah terbukti 60 tahun, tetap dijaga akan hak-hak mereka,” katanya.

Annuar juga menegaskan kepentingan bermuafakat.

“Dukunglah dan bawalah semangat ini dalam mesyuarat perwakilan kita. Rapatkan saf perjuangan kita dan sahabat-sahabat kita dalam PAS.

“UMNO dan PAS mampu membentuk satu gagasan cukup besar bagi menumbangkan PH.

“Kita yakin berkeupayaan dan boleh berbuat lebih baik untuk Malaysia, agama, institusi Raja-raja, bahasa, ekonomi dan segalanya,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.