Ahli UMNO Jangan Bimbang… Perkasakan Parti, Susun Strategi Menang PRU15

JERAI, 5 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, UMNO masih lagi mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi yang masih lagi setia dan berdiri teguh dengan perjuangan parti, biarpun UMNO tidak lagi memegang tampuk kerajaan di negara hari ini.

Katanya, selama 73 tahun penubuhan parti keramat ini, UMNO adalah pusaka negara dan satu-satunya parti yang berkhidmat, berbakti, menjaga dan membelai orang-orang Melayu serta kepada bangsa lain di negara ini.

“Kemajuan negara hari ini adalah hasil dari pentadbiran yang baik yang diurus oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Inilah pusaka negara, satu-satunya parti yang berkhidmat untuk orang Melayu dan juga menjaga bangsa lain.

“Janganlah kita tebang pokok yang besar, janganlah ada orang yang hendak mematikannya dan marilah kita sama-sama untuk mengukuh, membajainya dan menyiramnya supaya pokok yang besar ini terus subur dan menjadi tempat berlindung pada kita dari hujan dan panas. Mana tahu suatu hari nanti pokok ini akan berguna dan kita dapat berlindung di bawahnya,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan mesyuarat UMNO Bahagian Jerai, hari ini.

Tambah Mohamad lagi UMNO sebenarnya banyak berjasa kepada orang Melayu dan UMNO tidak ada titik noktahnya justeru kita perlulah menyusun strategi untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan memperkasakan parti.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau seterusnya menasihatkan seluruh ahli UMNO agar tidak merasa bimbang dengan ancaman pihak tertentu untuk mengharamkan parti itu.

Katanya, sebaliknya biarlah pucuk pimpinan yang menguruskan dan mengatur strategi untuk berhadapan situasi seperti itu.

“Apa yang perlu dirisaukan ahli adalah soal sama ada, sudahkah bersedia untuk berhadapan PRU-15 jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

“Ini tidak mustahil berdasarkan perkembangan semasa politik yang tidak menentu di dalam negara pada masa sekarang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, semasa ditemui dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian bagi mengulas isu pengharaman UMNO, Mohamad berkata, beliau yakin bahawa kerajaan tidak akan mengharamkan UMNO bagi menyuburkan semangat demokrasi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.