Pemuda UMNO Sokong Undi 18 Tahun Tapi Dengan Bersyarat…


KUALA LUMPUR, 4 Julai – Cadangan pindaan Perkara 119 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan berkenaan umur layak mengundi akan dibawa untuk bacaan di Parlimen.

Selaras dengan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersedia untuk menyokong usul cadangan tersebut tetapi dengan bersyarat.

“Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan bahawa kami bersedia untuk menyokong cadangan pindaan ini dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan.

“Sekiranya usul pindaan tidak disekalikan dengan syarat-syarat ini, maka Pemuda UMNO menyeru kesemua anggota Parlimen untuk menolak cadangan usul ini di Parlimen,” katanya.

Syarat tersebut ialah:

1. Cadangan pindaan ini wajib disertakan sekali pendaftaran pemilih secara automatik apabila individu tersebut telah mencapai umur layak mengundi 18 tahun.
Syarat pendaftaran automatik pemilih ini amat penting atas beberapa faktor;
(a) Masih ada rakyat yang tertinggal dari menjalankan hak demokrasi mereka. Laporan SPR menyebut seramai 3.6 juta individu dikenalpasti masih belum mendaftar sebagai pemilih.
(b) Bagi memastikan hasrat dan semangat cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini benar-benar tercapai serta memberikan ruang dan peluang yang seluasnya kepada pengundi baharu khususnya anak muda, hak untuk memilih Kerajaan yang sebenar dan bebas.
(c) Memberikan manfaat pentadbiran kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekaligus membantu melicinkan urusan pilihanraya dan menjimatkan operasi pentadbiran mereka.

2. Cadangan pindaan ini diselaraskan bersama pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan di mana umur calon pilihanraya juga perlu diturunkan ke 18 tahun dari 21 tahun. Pemuda UMNO mahu peluang demokrasi anak muda diberikan secara menyeluruh di samping menjamin konsistensi Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.