Fokus UMNO Rapatkan Saf Dan Teruskan Perjuangan, Tolak Regim PH
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Dalam membawa perjuangan rakyat, UMNO perlu terus fokus dalam memberi tekanan demi tekanan kepada pemerintahan rejim Pakatan Harapan (PH) yang semakin angkuh, tegas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaluddin.
Katanya, gesaan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi bahawa ahli UMNO kekal fokus dalam landasan perjuangan adalah amat wajar.
“Prestasi Kerajaan PH yang semakin buruk ini adalah masa yang terbaik untuk akar umbi serta ahli UMNO untuk terus meraih kepercayaan rakyat.
“Perpecahan serta pergolakan dalaman akan membawa imej yang buruk serta persepsi negatif kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru itu Fairuz menyeru agar semua akar umbi dan ahli UMNO terus setia dan muafakat dalam menyatakan sokongan kepada Presiden UMNO.
“Gandingan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden UMNO adalah gandingan terbaik yang mampu menerajui UMNO sebagai parti pembangkang yang berkesan.
“Kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bagi perlu ada daripada setiap ahli UMNO untuk melihat semula pergerakan dan kelancaran membina ummah.
“Jika ada perpecahan dalaman akan memberi kelebihan kepada rejim PH. Setiap ahli UMNO dan akar umbi perlu terus teguh, setia dan sepakat untuk membela nasib rakyat yang semakin ditekan oleh rejim PH,” tambahnya lagi.
Berhubung dengan inisiatif UMNO dan PAS dalam merealisasikan Penyatuan Ummah perlu diteruskan secara istiqamah dan konsisten, katanya.
“Keserasian kian jelas terukir dalam usaha muafakat ini. Penyatuan Ummah kini juga berada di landasan yang terbaik dan perlu terus dimantapkan.
“Kepincangan dalam memartabatkan Islam dan Melayu mula timbul di bawah pemerintahan PH.
“Memang jelas bahawa rakyat menyokong usaha ini dan berharap agar usaha Penyatuan Ummah ini dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang,” ujar Sekretariat Tunas Muda itu.
Dalam pada itu, Fairuz turut mencadangkan agar mana-mana ahli yang membawa kepada kemudaratan parti perlu di ambil tindakan yang tegas dan keras demi menjaga maruah serta hubungan baik semasa ahli UMNO.
“Setiap ahli berhak untuk bersuara, namun, perlu ada saluran tertentu untuk kebaikan UMNO. Kepentingan peribadi wajib diketepikan dan mengutamakan kepentingan parti.
“Setiap ahli perlu tingkatkan fokus dan konsisten dalam perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA) dan tidak menjadikan isu Presiden sebagai punca keretakan parti,” terangnya lagi.
Justeru itu, Fairuz menyeru dan menegaskan bahawa ahli UMNO perlu menyokong dan menghormati segala keputusan yang telah dipersetujui di peringkat tertinggi.
“Fokus utama UMNO adalah untuk menjadi pembangkang wibawa dan membantu memperjuangkan nasib rakyat yang semakin tertekan,” tegasnya. – MediaUMNO