Rakyat Hanya Tanya, Minta Siasat… Menteri ‘Melompat’ Ugut Saman?

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Isu pencemaran udara yang kronik di Pasir Gudang hingga melibatkan nyawa penduduk bukanlah isu politik tetapi ia adalah soal kebertanggungjawaban kerajaan dan soal keselamatan masyarakat awam, tegas Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.

Bidasnya dalam satu hantaran di Facebook, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya melaksanakan tugas menyelesaikan masalah dengan sebaiknya dan bukan hanya mahu mengugut rakyat apabila timbul persoalan.

“Rakyat bertanya dan suruh siasat betulkah syarikat berkaitan suami Menteri Alam Sekitar ini ada tiga kilang kimia di Pasir Gudang.

“Terus menteri ini melompat nak saman atau ambil tindakan undang-undang ke atas rakyat pula,” katanya.

Semalam, tular di media sosial yang menimbulkan persoalan kilang kimia terbabit adakah dimiliki anak syarikat IOI Corp Berhad di mana suami kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, Lee Yeow Seng adalah Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat tersebut.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri dalam satu status di Facebooknya berkata akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang mengaitkan dakwaan tersebut dengan kes pencemaran udara kronik; yang diistilahkannya sebagai gangguan kesihatan di kawasan Pasir Gudang itu.

Isham turut melahirkan kebimbangan jika siasatan ke atas punca sebenar kejadian keracunan udara tidak dibuat dengan cekap atau lambat bertindak kerana kilang-kilang yang mungkin terlibat tidak disiasat kerana ada konflik kepentingan sebagaimana yang menjadi tanda-tanya rakyat.

“Maka kejadian ini akan berlaku lagi dan beribu-ribu rakyat Johor di Pasir Gudang dan kawasan sekitaran akan terus terdedah kepada keracunan udara tersebut termasuklah penjawat-penjawat awam yang menjalankan tugas atas arahan menteri,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, tragedi terbaharu ini merupakan kejadian kali kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Pada Mac lalu, ribuan rakyat Pasir Gudang menjadi mangsa pencemaran udara yang teruk kesan dari pembuangan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di mana menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 20 Mac lalu, seramai 5,848 kanak-kanak dan orang dewasa dirawat sejak 8 Mac akibat pencemaran sisa beracun di sungai tersebut.

Daripada jumlah itu, 951 mangsa dimasukkan dalam wad, manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Kelmarin juga dilaporkan, jurugambar dari sebuah media perdana yang membuat liputan di tempat kejadian telah dimasukkan ke wad selepas mengalami gejala muntah, demam, sesak nafas dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara di Pasir Gudang dan turut disahkan dijangkiti virus Influenza B. – MediaUMNO