Menteri PH Enggan Jawab Soalan, Tajuddin Pula Diarah Keluar Dewan

KUALA LUMPUR 3 Julai – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) diarahkan keluar daripada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini ekoran meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menjawab soalan.

Hal itu bermula apabila Tajuddin tidak berpuas hati mengapa Salahuddin tidak menunggu untuk menjawab soalannya mengenai Program Tanaman Kontan, tetapi mewakilkan Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin sedangkan beliau ada di dalam Dewan.

Kerana luahan rasa tidak puas hatinya, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming tidak membenarkan Tajuddin meneruskan untuk bertanyakan soalan tambahan.

Keadaan itu membuatkan Tajuddin tidak mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan perang mulut antara kedua-dua mereka mengambil masa hampir 15 minit.

Akhirnya Kor Ming menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (2) untuk menghalau Tajuddin keluar selama dua hari.

Namun disebabkan masih enggan meninggalkan sidang mesyuarat, Kor Ming memerintahkan tempoh penggantungan itu dari dua hari menjadi empat hari. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.