Kerjasama UMNO-PAS Perintis Gagasan Yang Lebih Luas Untuk Selamatkan Rakyat

 

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kerjasama yang diusahakan antara UMNO dan PAS merupakan permulaan kepada satu gagasan yang lebih besar selepas ini dalam usaha menyelamatkan negara dan rakyat daripada pelbagai permasalahan yang berlaku.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata bentuk dan kerangka kerjasama itu akan dilakukan secara bersama dalam uasha menggerakkan rakyat, masyarakat, parti-parti politik di semenanjung, Sabah dan Sarawak, NGO lain bagi membentuk gagasan yang lebih besar yang mana akhirnya boleh menyelamatkan semua.

“Dalam keadaan rakyat tertipu, dalam keadaan rakyat merana, dalam keadan Islam yang rasa tidak selamat, dalam keadaan macam-macam keresahan rakyat itu perlu ada jawapan. Jadi jawapan itulah yang akan kita bentuk dengan bermulanya taawun UMNO dan PAS ini.

“Kita perlu satu gerakan yang besar. Kalau kita mahu menyelamatkan negara kita dan jangan menafikan negara ini sedang menghadapi masalah… jangan kita nafikan orang Islam tidak rasa begitu selesa, jangan kita nafikan rakyat yang selama ini tertekan dengan kos sara hidup, masalah mereka belum lagi diselesaikan. Jangan kita nafikan kita berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak secantik dulu. Jangan kita nafikan negara kita sedang menghadapi satu krisis iaitu krisis identiti dan keyakinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan secara langsung melalui medium Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Beliau seterusnya menambah negara mempunyai perdana menteri yang ‘world class’, namun ianya berada di dalam pasukan yang tidak boleh ‘deliver.’

“Kita tidak menafikan kita mempunyai PM yang ‘world class’, kita tidak pertikaikan soal Dr Mahathir tetapi sekarang terjawab Dr Mahathir seorang ‘player, strikers’ yang bagus berada di dalam team yang tidak boleh ‘deliver’.

‘Jadi bagaimana mahu menyelamatkan dan ini bukan soal anti Mahathir, pasukan itu… kita perlu membentuk satu pasukan yang lebih berkeupayaan dan itu sahaja yang pentingnya nanti, resultnya biarlah seluruh rakyat di negara ini mendapat nikmat,” tambahnya.

Tambahnya lagi sekarang ini semua sudah tahu dan masing-masing boleh lihat dengan jelas apakah Malaysia baharu yang mana hanya bergaduh sesama sendiri, berebut jawatan, kementerian yang tidak perform, sijil palsu, menteri jadi bahan ketawa dunia, dan inilah realiti yang berlaku.

“Kita tidak boleh duduk dalam keadaan ini dan kita tidak boleh baiki mengharapkan kepada satu ‘superman’ sebaliknya kita kena perbaiki sebagai satu gagasan. Oleh kerana gagasan Dap, Amanah, PKR dan PPBM tidak menjadi satu gagasan yang berprestasi setakat ini, nothing to prove maka kita kena mencari.

“Kita tidak boleh kata ini tidak berjaya maka BN berjaya. BN juga pernah gagal dan jawapan untuk akan datang bukan UMNO, jawapan untuk akan datang bukan Barisan, kita sedang membentuk satu muafakat baru,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.