Desakan Haramkan UMNO: PH Jangan Ambil Kesempatan Bila Dah Berkuasa – Khaled

POKOK SENA, 3 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, desakan mengharamkan parti UMNO bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar jangan mengambil kesempatan apabila sudah mempunyai kuasa.

Jelas beliau, UMNO pernah melalui zaman diharamkan dan sekiranya parti keramat ini diharamkan sekali lagi, beliau yakin UMNO mampu bangkit dan kembali menjadi kuat.

“Walaupun ada desakan untuk mengharamkan UMNO tetapi ia bukan proses yang mudah. Walau apapun yang berlaku saya yakin semangat UMNO masih kuat.

“Saya percaya pucuk pimpinan parti juga akan meneliti segala kemungkinan dan akan menyediakan jawapan sekiranya terjadi apa-apa kepada parti ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, beliau menyeru kepada ahli UMNO agar jangan panik dan yakinlah terhadap kepimpinan parti.

Baru-baru ini, Pemuda PH menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi menggesa tindakan keras dikenakan ke atas UMNO yang didakwa menerima dana berjumlah RM212 juta daripada 1MDB.

Jawapan kepada desakan itu, ROS mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka sedang meneliti memorandum yang mendesak supaya UMNO diharamkan.

Ketua Pengarahnya, Masyati Abang Ibrahim, berkata pihaknya sudah menerima memorandum berkenaan termasuk yang diserahkan kepada ROS di beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak dan Perlis.

Katanya, penelitian terhadap memorandum dan dokumentasi berkenaan akan dibuat berdasarkan peruntukan serta bidang kuasa yang termaktub di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan Pertubuhan 1984. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.