Sepuluh Persoalan Untuk ‘Kekanda’… Benarkah Rakyat Tak Resah Isu Tabung Haji?

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempertikai dakwaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyatakan bahawa rakyat tidak resah dan tidak kisah isu Tabung Haji (TH).

Mujahid juga berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan institusi yang mengurus dana orang Islam serta jemaah haji negara itu, ujarya lagi.

Justeru itu, Dr Asyraf menimbulkan sepuluh persoalan kepada rakyat adakah benar telahan Dr Mujahid tersebut.

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan Hibah 1.25% setahun sedangkan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah purata Hibah tahunan adalah 6.75%?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan Pakatan Harapan (PH) bahawa wujud penyelewengan oleh kerajaan BN yang telah mengakibatkan Tabung Haji rugi RM17.8 bilion?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan akaun TH yang didakwa telah dimanipulasi sehingga menampakkan tiada sebarang defisit untuk tahun 2017? Soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Begitu juga tuduhan-tuduhan lain yang dilemparkan oleh PH, tegas Dr Asyraf lagi.

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan Kekanda bahawa akaun TH telah dipalsukan untuk menutup defisit RM4.1 bilion?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan dakwaan bahawa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH kerana dirompak atau dicuri oleh BN?

“Benarkah rakyat tidak kisah wang mereka berjumlah RM17.8 bilion digunakan untuk ‘bail-out’ atau sebagai suntikan dana kepada TH sedangkan sejak puluhan tahun di bawah BN tidak pernah kerajaan terpaksa berbuat demikian? tanyanya lagi yang menyapa Dr Mujahid dengan gelaran Kekanda, gara-gara warkah Naib Presiden Pan itu kepada Nurul Izzah Anwar satu ketika dahulu yang membahasakan dirinya Kekanda.

Seterusnya, Dr Asyraf turut menimbulkan persoalan mengenai perkara-perkara yang tidak menjadi keresahan di hati rakyat pada pandangan Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan penjualan aset-aset strategik TH termasuk bernilai RM10 bilion kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd? (Nota: Antara hartanah bernilai yang dijual termasuklah Tanah TRX yang dibeli pada harga RM196 juta dan dijual pada harga RM400 juta; Platinum Park dijual pada harga RM737 juta sedangkan harga belian RM485 juta; ini tidak termasuk hotel-hotel TH yang turut dijual di TH Bayan Lepas, TH Kuching, TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Alor Setar, TH Hotel Terengganu).

“Benarkah rakyat tidak kisah ke mana dibelanjakan baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga TH kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd?

“Benarkah rakyat tidak kisah dengan dakwaan Kekanda sebelum ini yang mengaitkan pelbagai kerugian pelaburan Tabung Haji yang dikaitkan dengan penyelewengan dan pelbagai salah laku seperti TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV dan PT TH Indo Plantation di Riau? Soalnya.

Terakhir, tegas Dr Asyraf mengenai Sukuk yang diterbitkan.

“Benarkah rakyat tidak kisah apabila Sukuk yang diterbitkan untuk mengumpul dana dengan penjualan aset-aset TH hakikatnya tidak dijamin kerajaan?

“Apakah jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh TH kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya dan tidak merugikan pendeposit TH pada masa depan? Soalnya.

Dr Asyraf turut menimbulkan persoalan khusus buat Dr Mujahid mengapa kerajaan PH terlalu takut untuk menubuhkan RCI mengenai TH yang bebas sebagaimana janji manifesto mereka. – MediaUMNO