Semua Pihak Diseru Fokus Agenda Pengukuhan Parti, Selamat Kembali Bertugas Presiden

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Dengan kembalinya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO Malaysia, Naib Presiden parti, Datuk Seri Khaled Nordin menyeru semua pihak, khususnya para pemimpin, ahli dan pendukung UMNO untuk bersama-sama memfokuskan kepada agenda pengukuhan parti.

“Saya mengucapkan selamat kembali bertugas kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO Malaysia. Seperti yang kita semua maklum, beliau sebelum ini menyerahkan sementara tugas-tugas Presiden kepada Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

“Kita mesti bersama-sama berusaha untuk mengelakkan apa saja yang boleh menjadi bahan spekulasi serta melemahkan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas beliau, UMNO harus membuktikan kepada semua ahli, pendukung dan masyarakat awam bahawa agenda pemulihan parti adalah fokus yang lebih besar dan utama berbanding perkara-perkara remeh yang boleh menyebabkan perpecahan dalaman.

“Saya memberi sokongan dan komitmen yang sepenuhnya kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden dan kepimpinan parti yang lain untuk terus bersama-sama berjuang agar UMNO bangkit menjadi wadah dan suara untuk semua rakyat Malaysia.

“Selamat kembali bertugas kepada Datuk Seri Zahid selaku Presiden UMNO,” katanya lagi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah mengumumkan untuk kembali aktif memimpin parti selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.