Naratif Baru UMNO Untuk Terus Diyakini, Bela Nasib Rakyat


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sepang, Norazli Said percaya UMNO akan terus diyakini perjuangannya dalam membela nasib rakyat dan naratif baru parti berkenaan perlulah disesuaikan dengan senario semasa hari ini.

Serentak itu beliau menekankan bahawa tidak guna menoleh ke belakang apatah lagi mengimbau dan berbangga dengan kejayaan-kejayaan sebelum ini sebaliknya terus ke depan mengorak langkah bersama dengan rakan-rakan seperjuangan.

“Tidak guna menyesali perbuatan silam dan tidak guna berbangga dengan kejayaan lalu. Sebaliknya terus mara ke depan. Kita harus ‘move on’ sebab yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

“Masa untuk segala-galanya telah berlalu dan langit tidak selalu cerah. Marilah kita ke depan,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah seluruh ahli dan juga pemimpin perlu sama-sama mencari persamaan dalam perbezaan dan itulah sebenarnya ramuan untuk terus ke depan dalam mencipta kejayaan bersama.

“Kekuatan UMNO ini bukan hanya terletak kepada Ketua bahagian atau AJKnya sahaja tetapi kekuatannya ada dalam setiap diri kita. Membenihlah dan bercambahlah semangat perjuangan ini agar UMNO yang kita kasihi dapat diwariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang.

“Cogan kata ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, sama-sama kita hayati dan inilah yang perlu diperbaiki dengan setiap daripada kita berlumba-lumba untuk menunjukkan kebaikan di mata masyarakat, bekerja dan berkhidmat.

“Inilah yang perlu sama-sama kita selami,” katanya.

Tambahya lagi janganlah UMNO dipersalahkan kerana parti ini terlalu banyak jasanya kepada kita.

“Bak kata orang tua-tua… mana yang keruh kita jernihkan, mana yang salah kita betulkan, mana yang renggang kita rapatkan untuk kita sama-sama menjadi penyuluh dalam gelita, jadilah penyabar dalam duka, jadilah benteng teluk dan tanjung.

“Kesetiaan mestilah kepada parti dan bukannya individu kerana individu datang dan pergi namun parti masih tetap berdiri. Jangan dibiarkan masalah-masalah yang menular itu menyebabkan ahli menjadi kecewa sebaliknya ayuhlah kembali perteguh UMNO,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.