Kerajaan PH Patutnya Beri Tumpuan Masalah Rakyat… Bukan Sibuk Cari Salah Orang

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) seharusnya menumpukan cara untuk mengatasi kos sara hidup memandangkan rakyat sekarang ini semakin terhimpit.

Namun sayangnya jelas beliau, kerajaan hanya ‘sibuk’ mencari kesalahan orang lain dan menjadikan ia seperti perkara yang besar.

“Mereka barangkali tidak ada kerja lain. Saya tidak mahu tuduh sesiapa tetapi mencari kesalahan orang menjadi perkara yang besar kepada mereka.

“Sedangkan apa yang penting sekarang ini adalah kehidupan masyarakat… kerja tidak ada, upah tidak naik, cukai bertambah tapi gaji tidak bertambah. Semua ini masalah yang sepatutnya kerajaan atasi dan selesaikan tapi terpulanglah kepada mereka yang berkuasa,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan sikap kerajaan yang lebih menumpukan kepada perkara-perkara tidak penting seperti mencari kesalahan pemimpin-pemimpin terdahulu daripada menyelesaikan masalah rakyat.

Tambah Tengku Razaleigh, melihat kepada senario kepimpinan kerajaan PH ini, rakyat sudah mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan hari ini dan seharusnya perkara ini dipandang serius.

Mengulas berkaitan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menamatkan cuti dan kembali menerajui parti jelas beliau, ia tidak menjadi isu kerana Ahmad Zahid belum di dapati bersalah dan tidak ada sesiapapun yang boleh menghalang beliau untuk terus berpolitik. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.