Jual Negara Ke China… Ramai Penyokong PH ‘Masuk Gua’, Sinis Adnan

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman dengan sinis mengatakan penyokong Pakatan Harapan (PH) kini ramai sudah ‘masuk gua’; satu istilah yang diberikan pelayar maya kepada mereka yang malu disebabkan tindakan-tindakan sendiri.

Ini kerana dahulunya bidas Adnan dalam satu hantaran di Facebook, mereka sering menuduh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri menjual negara ke China kerana hubungan diplomasi yang baik serta pelbagai pelaburan yang masuk dari negara tersebut ke negara ini.

“Penyokong PH yang tuduh Barisan Nasional (BN) dan DSN (Datuk Seri Najib) jual negara kepada China tu ramai dah ‘masuk gua’ sebab kesipuan yang melampau.

“Mana tak dulu bukan main lagi kutuk BN sekarang dah tak tahu nak letak muka kat mana,” sindirnya.

Tegas pengamal undang-undang itu juga, Kerajaan PH bukan seperti BN yang setakat menjalinkan hubungan dagang dengan China tetapi hingga melantik warganegara China sebagai pengarah dalam syarikat pelaburan milik negara, Khazanah Nasional Berhad.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pemimpin serta penyokong PH amat lantang menghasut rakyat dengan mengatakan kerajaan BN menjual negara dan kedaulatan negara disebabkan banyak pelaburan masuk dari negara tersebut seperti projek Forest City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan pelbagai lagi.

Ironinya, selepas menjadi kerajaan, PH bukan sahaja meneruskan projek-projek berkenaan malahan hingga ke tahap menambah hutang rasmi negara dengan menagih ehsan China dengan Bon Panda.

Tambah menjengkelkan, selain menjual aset-aset kerajaan, terbaharu PH mengumumkan pelantikan ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional dari China iaitu Pengasas SenseTime dan pensyarah di Chinese University of Hong Kong, Prof Xiao’ou Tang serta Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Pengerusi Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan Tencent Holding Company Limited, Lau Seng Yee selain Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, To’ Puan Azian Mohd Aziz.

Begitu juga kewujudan Kedai Serbaneka Pintar Ximplicity dengan kerjasama BingBox, perintis kedai serbaneka tanpa tunai di China di bangunan Parlimen Malaysia. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.