Isytihar Harta: Kerajaan Perlu Tunjuk Contoh Dahulu Sebelum Desak MP Pembangkang

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan sepatutnya menunjukkan contoh yang baik sekiranya mahu anggota Parlimen pembangkang mengisytihar aset mereka.

Bidas beliau, pemimpin kerajaan sendiri masih ada yang belum mengisytiharkan aset mereka jadi bagaimana mereka mahu memaksa ahli Parlimen pembangkang untuk isytihar aset?

“Mereka harus menunjukkan contoh yang baik dahulu… buktikan mereka jujur dan telus sebab mereka yang berkuasa kini dan bukannya kami.

“Apa alasan mereka untuk mendesak pembangkang isytihar harta sedangkan harta kami semua boleh diakses oleh SPRM, jadi apa guna usul ini dibuat,” bidas beliau ketika bercakap kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing. Usul itu akan terpakai kepada semua Anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak mereka berumur 21 tahun ke bawah dan pemegang amanah berkaitan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.