UMNO Sabah Sambut Baik Keputusan Presiden Kembali Bertugas – Bung Mokhtar


KUALA LUMPUR, 1 Julai – UMNO Sabah menyambut baik keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali bertugas, bermula hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengumuman Ahmad Zahid untuk menamatkan tempoh bercuti, adalah satu langkah yang baik selaras dengan mandat yang diberi oleh perwakilan kepada beliau sebagai Presiden.

“Sebagai pemimpin dan anggota parti kita mesti menghormatinya,” katanya dalam kenyataan berhubung pengumuman Ahmad Zahid kembali berkhidmat setelah enam bulan bercuti.

Katanya, UMNO Sabah berkeyakinan misi dan gerak kerja parti akan lebih diperkuatkan dengan keputusan terbaru ini.

“Kita mesti bersama memperkukuhkan parti.

“Saya yakin dan percaya UMNO akan menjadi kuat apabila semua pemimpin dan ahli parti bekerja bersama.

“Ini masa untuk kita memperkuatkan parti untuk kembali dan tingkatkan sokongan rakyat kepada UMNO,” katanya lagi.

Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datok, Perak telah mengumumkan untuk kembali aktif bagi memimpin UMNO selepas bercuti sebelum ini. – MediaUMNO